AZMI (tengah) bersama Uncle Kentang ketika melihat van jenazah pada program penyerahan van jenazah Pertubuhan Amal Uncle Kentang kepada Polis Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
AZMI (tengah) bersama Uncle Kentang ketika melihat van jenazah pada program penyerahan van jenazah Pertubuhan Amal Uncle Kentang kepada Polis Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur menerima dua van jenazah daripada Pertubuhan Amal Uncle Kentang untuk kegunaan masyarakat setempat yang memerlukan bantuan pengurusan jenazah, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dua van berkenaan ditempatkan di Balai Polis Dang Wangi dan Balai Polis Cheras.

"Orang ramai boleh datang ke balai dengan memaklumkan kepada anggota bertugas untuk mendaftar nama bagi menggunakan van itu secara percuma.

"Jika tidak ada pemandu ketika itu, kita akan memohon bantuan rakan strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan van berkenaan digunakan bagi menguruskan apa-apa keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam Program Penyerahan Van Jenazah Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia kepada Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Azmi berkata, pihaknya harap khidmat dua van jenazah itu dapat memberi manfaat serta kemudahan kepada masyarakat setempat.

"Inisiatif ini adalah permulaan dan sekiranya kita dapati penerimaan perkhidmatan van ini sangat baik, kita harap Pertubuhan Amal Uncle Kentang dapat meningkatkan jumlah van yang ditempatkan di balai polis di Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, pengasas persatuan berkenaan Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, pihaknya mempunyai 25 van jenazah yang disediakan untuk kemudahan masyarakat.

"Ini adalah kali pertama persatuan ini bekerjasama dengan pihak polis dari segi penyediaan van jenazah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 12:02 PM