ZAN Aiskrim (dua kiri) membantu orang ramai yang mahu mendapatkan khidmat ambulans secara percuma. FOTO Aizat Sharif
ZAN Aiskrim (dua kiri) membantu orang ramai yang mahu mendapatkan khidmat ambulans secara percuma. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Kangar: Jika nama Hanizan Idrus, 43, disebut pasti ramai tidak mengenalinya namun apabila nama Zan Aiskrim disebut, pasti ramai mengenalinya sebagai insan yang banyak terbabit dalam kerja sukarelawan membantu golongan kurang bernasib baik.

Pandemik Covid-19 menyebabkan kerjanya sebagai penjual aiskrim jalanan di luar perkarangan Sekolah Rendah Sri Indera, di sini, terhenti namun dia tetap mahu meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat yang mana dia kini menjadi pemandu van jenazah serta ambulans tanpa sebarang bayaran.

Dia kini menguruskan dua kenderaan iaitu sebuah van jenazah dan ambulans yang diamanahkan menerusi derma dan dana wakaf.

Hanizan berkata, idea menawarkan khidmat pengurusan jenazah dan ambulans timbul selepas dia melihat aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau 'Uncle Kentang' banyak membantu masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Saya terinspirasi dengan usaha Uncle Kentang yang sanggup menyediakan khidmat van jenazah untuk kegunaan orang Islam yang tidak berkemampuan secara percuma dan saya melihat jika dia boleh lakukannya, kenapa tidak saya.

"Saya banyak belajar kerja kebajikan ini menerusi mentor saya yang juga aktivis masyarakat di Sungai Petani dan Gurun, Kedah iaitu Latifah Abu terutama dalam mengendalikan kebajikan anak sakit kronik, anak yatim dan asnaf.

"Puan Latifah jugalah menjadi tempat rujukan sehinggalah sampai satu tahap, dia bertanya saya mengenai apa yang ingin saya lakukan dalam hal kebajikan kerana dia melihat saya begitu bersungguh-sungguh dan saya katakan bahawa saya berhajat hendak menaja van jenazah dan ambulans," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kangar.

Katanya, berkat dorongan mentornya itu serta bantuan infaq orang ramai, Hanizan berjaya mendapatkan van yang diamanahkan dijadikan sebagai van jenazah dan ambulans.

Dia berkata, operasi van jenazah bermula pada Julai tahun lalu sebelum diikuti dengan ambulans lima bulan selepas itu.

"Saya serta seorang pembantu pergi ke banyak tempat untuk membawa jenazah seperti diminta waris untuk dikebumikan dan yang paling jauh adalah membawa jenazah yang tiba dari Langkawi untuk dikebumikan di Melaka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 3:01 PM