Rokok pelbagai jenama dirampas. FOTO IHSAN PGA
Rokok pelbagai jenama dirampas. FOTO IHSAN PGA
Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim merampas pelbagai jenis rokok dipercayai diseludup dan tidak bercukai di sebuah stor di Kampung Sungai Karangan di Kulim malam tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 2, PGA Kulim, Superintendan Md Dali Jamil berkata, serbuan dilakukan pasukan Cawangan Risik diketuai Inspektor T Naventheran ketika melakukan rondaan dan pemerhatian di kawasan Pekan Sungai Karangan di Kulim pada jam 9.30 malam.

Beliau berkata, ketika itu pegawai dan anggotanya terserempak dengan sebuah kenderaan dipandu seorang lelaki tempatan dan disyaki terbabit dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran rokok tidak bercukai.

"Berikutan itu, pegawai dan anggota kami bertindak menghampiri kenderaan itu dan memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta kad pengenalan diri suspek.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek berusia 21 tahun itu tidak menemui barang salah namun hasil pemeriksaan dalam kenderaannya menemui 116,800 batang rokok dari pelbagai jenama serta peralatan yang boleh dijadikan bukti dalam kenderaan itu," katanya di sini hari ini.

Md Dali berkata, hasil maklumat yang diperolehi, pihaknya kemudian membuat pemeriksaan di sebuah stor tidak bernombor yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan itu, pihaknya berjaya merampas 105,360 batang rokok dari pelbagai jenama tanpa cukai.

"Berikutan itu, lelaki terbabit ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

"Kesemua rokok dan barang rampasan termasuk Toyota Land Cruiser Prado itu diserahkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut," katanya.

Md Dali berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan bernilai RM425,736.

Beliau berkata, PGA Briged Utara khususnya Batalion 2 akan meneruskan lagi usaha untuk membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran barangan kontraban di Wilayah Utara.

"Orang ramai perlu memberi kerjasama kepada kami untuk menyalurkan maklumat dan kerjasama sekiranya berlaku kegiatan penyeludupan serta pengedaran barang kontraban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 6:49 PM