SEKUMPULAN 32 Pati warga Myanmar yang ditahan pasukan Batalion 2 PGA selepas cuba memasuki sempadan negara ini semalam. FOTO ihsan PGA
SEKUMPULAN 32 Pati warga Myanmar yang ditahan pasukan Batalion 2 PGA selepas cuba memasuki sempadan negara ini semalam. FOTO ihsan PGA
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Sekumpulan 32 pendatang tanpa izin (Pati) warga Myanmar yang sanggup memanjat pagar keselamatan ketika hujan lebat untuk masuk ke negara ini ternyata sia-sia apabila mereka ditahan, semalam.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 21 lelaki dan 11 wanita berusia antara 17 hingga 38 tahun ditahan sepasukan anggota dari Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim pada jam 6 pagi semalam berdasarkan maklumat yang diterima.

Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA Kulim, Superintendan Md Dali Jamil berkata, ketika kejadian, sepasukan pegawai dan anggotanya melakukan pemeriksaan di kawasan semak berhampiran tangki air BKH 3 di sini dalam Op Benteng Covid Kawalan Keselamatan Sempadan Darat Malaysia/Thailand.

Beliau berkata, sewaktu pemeriksaan dilakukan, pegawai dan anggotanya menemui kesemua Pati berkenaan sedang bersembunyi di kawasan semak dalam keadaan mencurigakan.

"Kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri sah masuk ke negara ini.

"Berikutan itu, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk dibuat laporan tangkapan dan tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Md Dali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 ( 1 )( 3 )( C ) Akta Imigresen 1963.

Dalam pada itu, Md Dali berkata, sejak 1 Disember sehingga kini, Batalion 2 PGA merekodkan rampasan daun ketum sebanyak 4,131 kilogram dengan anggaran nilai RM123,930 serta 218 bungkusan air ketum anggaran RM1,484.

Beliau berkata, turut dirampas rokok pelbagai jenama yang dianggaran bernilai RM25,906, tiga buah motosikal anggaran RM164,602.

"PGA Batalion 2 berjaya menahan 13 lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Thailand termasuk 32 warga Myanmar semalam atas pelbagai kesalahan.

"Pihak batalion 2 Kulim akan meneruskan lagi usaha bagi membanteras dan mencegah kegiatan pencerobohan, penyeludupan Pati dan barangan terlarang yang aktif di kawasan sempadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 7:44 PM