ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Lelaki ditemukan mati dipercayai dihempap mesin penurap tar di sebuah premis di Sungai Baru, Kuala Sungai, di sini hari ini.

Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa yang berusia lingkungan 60 tahun.

Ketua BBP Alor Setar, Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.47 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zulkiflee Mat Esa bersama polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiba di lokasi dan mendapati mangsa masih di bawah mesin penurap tar berkenaan.

"Operasi mengeluarkan mangsa menggunakan dua unit forklift untuk mengangkat mesin penurap tar berkenaan.

"Mangsa dikeluarkan dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak KKM," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Naufal berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 2:43 PM