GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Malaysia merekodkan sebanyak 77 lagi kes kematian akibat Covid-19 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut akibat wabak itu mencecah 33,720 kes.

Data laman sesawang CovidNow menunjukkan 23 daripadanya adalah kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID), menjadikan jumlah kematian kategori itu kini sebanyak 7,018.

Pulau Pinang mencatatkan bilangan kes tertinggi dengan 12 kematian akibat Covid-19 termasuk tiga kes BID. Ia disusuli Kelantan dan Selangor dengan masing-masing 11 kematian.

Sebanyak 10 daripada kematian akibat Covid-19 di Kelantan adalah kes BID manakala tiga kes kategori berkenaan dilaporkan di Selangor.

Kedah melaporkan sembilan kematian akibat Covid-19; lapan kematian di Johor; Perak (tujuh dengan dua kes BID); empat kematian masing-masing dilaporkan di Perlis dan Terengganu (termasuk satu kes BID); masing-masing tiga kematian di Negeri Sembilan (dengan satu kes BID) dan Kuala Lumpur (termasuk satu kes BID); dua kes kematian di Sabah, kedua-dua kes BID dan masing-masing satu kematian di Melaka, Pahang dan Sarawak.

Secara keseluruhannya, Malaysia menunjukkan trend peningkatan kes kematian akibat Covid-19 iaitu sebanyak 33 peratus dalam tempoh 14 hari lalu.

Hampir kesemua negeri mencatatkan peningkatan kecuali Sabah yang mencatatkan penurunan sebanyak 24 peratus dalam tempoh dua minggu manakala Labuan pada kadar sifar.

Tiga negeri dan Wilayah Persekutuan mencatatkan peningkatan lebih 100 peratus bagi kes kematian akibat COVID-19, dengan Putrajaya mencatatkan peningkatan sebanyak 400 peratus.

Ia disusuli Perlis pada kadar 300 peratus dan Negeri Sembilan dengan pertambahan sebanyak 138 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 11:46 AM