GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bh.com.my

Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 29 kematian akibat Covid-19 setakat tengah malam tadi, menjadikan jumlah kes kematian kini mencecah 30,309.

Laman sesawang COVIDNOW menunjukkan enam daripada kes dilaporkan itu membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Ia menyumbang kepada seramai 6,130 pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan setakat ini.

Berdasarkan kepada data dimuatnaik di laman sesawang GitHub KKM, tujuh daripada kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Perak (termasuk tiga kes BID), masing-masing enam kes di Kedah dan Kelantan (dua kes BID); serta masing-masing dua kes di Johor, Pahang, Sabah (satu kes BID), Terengganu dan Kuala Lumpur.

Sepanjang tempoh 14 hari ini juga enam negeri menunjukkan peningkatan peratusan kes kematian biarpun peratusan di peringkat kebangsaan mencatatkan penurunan sebanyak 6 peratus.

Negeri menunjukkan peningkatan peratusan kes kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 14 hari ini adalah Melaka dengan peningkatan sebanyak 240 peratus, disusuli Johor dengan 106 peratus; Pahang (100 peratus); Kedah (36 peratus); Kelantan (29 peratus) dan Terengganu dengan sebanyak 12 peratus.

Ketika ini juga sebanyak 66,455 kes masih aktif dengan seramai 54,695 atau 82.3 peratus menjalani kuarantin di rumah; seramai 6,550 pesakit atau 9.9 peratus kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) manakala 4,699 pesakit lagi atau 7.1 peratus menjalani rawatan di hospital.

Selain itu, hanya dua negeri merekodkan peningkatan kes kemasukan ke hospital iaitu Selangor dengan lapan peratus; dan lima peratus di Sabah manakala negara menunjukkan penurunan lima peratus terhadap kemasukan kes positif Covid-19 ke hospital.

Sepanjang tempoh sama juga, enam negeri mencatatkan peningkatan kes positif baharu iaitu Perlis dengan peningkatan sebanyak 72 peratus; Labuan (31 peratus); Melaka (12 peratus); masing-masing peningkatan 9 peratus di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta 6 peratus di Kedah.

Setakat tengah malam tadi juga, sebanyak 77.6 peratus atau 25,356,803 daripada populasi negara sudah melengkapkan vaksinasi terhadap Covid-19 dengan masing-masing 96.8 peratus populasi dewasa dan 85.8 peratus dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah lengkap divaksinasi.

Sebanyak 54,526 dos vaksin Covid-19 diberikan semalam, iaitu 47,267 dos penggalak; 2,522 doa pertama dan 4,737 dos kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 1:57 PM