GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 55 kematian akibat Covid-19 setakat tengah malam tadi.

Laman sesawang COVIDNOW turut melaporkan sembilan kematian di luar fasiliti kesihatan semalam.

Kesemua kematian yang dilaporkan menyumbang kepada 29,892 kes setakat ini.

Data melalui laman sesawang GitHub KKM pula melaporkan Sarawak mencatatkan bilangan kematian tertinggi semalam dengan 10 kes, disusuli dengan Terengganu dengan lapan kematian; Kedah (tujuh); Kelantan dan Selangor mencatatkan enam kematian; lima kematian dilaporkan di Johor; Perak (empat); dua kematian masing-masing di Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur; serta satu kematian masing-masing di Pahang, Perlis dan Sabah.

Tiada kematian dilaporkan di Labuan dan Putrajaya setakat tengah malam tadi.

Setakat tengah malam tadi juga, data untuk enam bulan terkini menunjukkan 64.7 peratus kematian akibat Covid-19 di negara ini membabitkan individu belum divaksinasi; kematian dalam kalangan individu belum lengkap divaksinasi pula membabitkan 22.1 peratus dan sebanyak 13.2 peratus kematian membabitkan individu yang sudah melengkapkan vaksinasi.

Data kematian untuk enam bulan terkini mengikut usia pula menunjukkan 55 peratus kematian membabitkan individu berusia 60 tahun ke atas dan kematian membabitkan individu berusia 18 hingga 59 tahun menyumbang kepada 44.6 peratus kematian akibat Covid-19 di negara ini manakala individu berusia 12 hingga 17 tahun serta 11 tahun ke bawah masing-masing mencatatkan 0.2 peratus kematian.

Individu lelaki pula mencatatkan peratusan kematian akibat Covid-19 sebanyak 56.9 peratus dan wanita pada kadar 43.1 peratus.

Data sama juga menunjukkan sebanyak 87.1 peratus kematian akibat Covid-19 di negara ini membabitkan warganegara dan 12.9 peratus bukan warganegara.

Sementara itu, sebanyak 67,358 kes positif Covid-19 dilaporkan masih lagi aktif setakat tengah malam tadi, dengan 52,820 atau 78.4 peratus kes menjalani kuarantin di rumah; sebanyak 8,181 atau 12.1 peratus kes kini menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC); dan seramai 5,816 pesakit atau 8.6 peratus kes menjalani rawatan di hospital.

Sebanyak 6,380 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan semalam, menyumbang kepada sebanyak 2,569,533 kes jangkitan Covid-19 di negara ini sejak ia dikesan pada akhir Januari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 8:52 AM