TLDM mengusir bot nelayan asing yang dipercayai cuba menceroboh perairan negara. FOTO ihsan TLDM
TLDM mengusir bot nelayan asing yang dipercayai cuba menceroboh perairan negara. FOTO ihsan TLDM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengusir lima bot nelayan asing yang dipercayai cuba menceroboh perairan dan mengaut hasil laut negara secara tidak sah di perairan Pulau Perak, semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut berkata, pengusiran itu dibuat Kapal Diraja (KD) Gagah Samudera pada 10 pagi.

Menurutnya, sebelum itu, pesawat CL 415 MP (MAR 272) milik Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) mengesan lima bot asing itu di kedudukan kira-kira 16 batu nautika di sempadan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) negara.

"Maklumat pengesanan segera disalurkan kepada Maritime Component Commander (MCC) Barat yang seterusnya mengarahkan KD Gagah Samudera yang sedang dalam penugasan Op Benteng Laut ke lokasi yang dilaporkan.

"Setibanya di lokasi berkenaan, KD Gagah Samudera mengesahkan ada lima bot nelayan asing sedang cuba memasuki perairan negara.

"Tindakan pantas Tim Menggeledah KD Gagah Samudera berjaya memintas dan menghalang pergerakan bot nelayan asing berkenaan serta seterusnya mengusir kesemua bot keluar dari perairan negara," katanya dalam satu kenyataan di Lumut, hari ini.

Menurut kenyataan itu, TLDM bersama agensi penguatkuasa maritim lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada setiap masa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 11:08 AM