SALAH satu bot nelayan berkenaan. FOTO Ihsan TLDM
SALAH satu bot nelayan berkenaan. FOTO Ihsan TLDM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mematahkan cubaan empat bot nelayan asing yang dipercayai mahu menceroboh perairan negara di sekitar perairan Pulau Perak, Kedah, semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut berkata, tindakan itu dilakukan Kapal Diraja (KD) Teguh Samudera pada 5.30 petang.

Menurutnya, penyaluran maklumat pantas melalui Maritime Component Commander (MCC) Barat mengatur gerak KD Teguh Samudera ke lokasi pengesanan awal bot asing berkenaan di sekitar perairan selatan Pulau Perak.

"Setibanya di posisi pengesanan, KD Teguh Samudera mempamerkan kecekapan menerusi tindakan pengusiran ke atas sebuah bot asing itu sehingga ia keluar meninggalkan sempadan perairan negara.

"Tiga lagi bot asing yang dilaporkan dipercayai sudah meninggalkan perairan negara selepas menyedari kehadiran aset pertahanan maritim negara," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sebelum itu, pesawat B200T (RMF 354) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan keberadaan empat bot nelayan asing berkenaan di kedudukan kira-kira 49 batu nautika selatan Pulau Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 8:23 AM