GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

kartika@hmetro com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui agensi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membina lebih banyak pencawang telefon selular sebagai usaha membantu masyarakat di negeri Johor, khususnya di Kota Tinggi meningkatkan taraf hidup melalui perniagaan dalam talian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sudah mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan untuk meningkatkan perkhidmatan khususnya di kawasan berpenduduk.

Katanya, tindakan membina struktur pemancar baharu, naik taraf stesen pemancar sedia ada, penyambungan rangkaian gentian optik dan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) juga akan diambil.

"Satu daripada 13 struktur pemancar baharu sudah siap dilaksanakan manakala 12 daripadanya lagi sedang dalam pelaksanaan.

"Untuk kerja naik taraf stesen pemancar pula, 70 sudah siap dan sebanyak tiga stesen lagi proses naik taraf sedang giat dilakukan.

"Kerja penyambungan gentian optik pula menyaksikan sebanyak 3,934 premis sedang dilengkapi dengan kemudahan berkenaan sementara 669 premis lagi telah dilengkapi dengan gentian optik.

"Kemudahan enam PEDi sedia ada di Kota Tinggi juga turut memberi nilai tambah dan kemudahan kepada penduduk setempat dalam melaksanakan urusan seharian mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, setakat suku keempat 2021, liputan 4G di Johor berada pada paras 98.68 peratus dan angka berkenaan disasarkan akan meningkat kepada 99.14 peratus menjelang akhir 2022.

Manakala, kelajuan jalur lebar pada tahap 28.15 Mbps dan disasarkan akan meningkat kepada 35 Mbps.

"KKMM beriltizam untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia di Johor melalui pelbagai inisiatif yang direncanakan, bukan sahaja di Kota Tinggi malah termasuk juga kawasan

"Justeru, saya berharap penduduk di Kota Tinggi akan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini demi meningkatkan taraf kehidupan seperti berniaga secara dalam talian sekaligus mempelbagaikan sumber pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 1:04 PM