Annuar Musa pada sidang media. FOTO BERNAMA
Annuar Musa pada sidang media. FOTO BERNAMA
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Usaha untuk meningkatkan kesalinghubungan di seluruh negara ke tahap terbaik dan akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana akses kepada kemudahan Internet adalah sebahagian daripada keperluan hak asasi manusia.

"Saya difahamkan pelbagai langkah sudah diambil di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) secara berperingkat termasuk pembinaan menara komunikasi baharu, naik taraf peralatan pemancar 4G, sambungan gentian optik dan jalur lebar satelit.

"Bagi tempoh antara Ogos 2020 sehingga 31 Ogos 2021 lalu, sejumlah 24 menara komunikasi baharu telah siap dibina di Kelantan di bawah Jendela Fasa 1.

"Selain itu, 870 peralatan pemancar 4G dinaik taraf manakala sejumlah 21,867 premis di Kelantan diliputi dengan sambungan gentian optik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pada masa sama, kerja membina 67 lagi menara baharu, naik taraf 408 peralatan pemancar 4G dan melakukan sambungan gentian optik ke atas 33,037 premis akan diteruskan bermula dari September 2021 sehingga 31 Disember 2022.

Katanya, begitu juga dengan pembinaan 18 jalur lebar satelit di kawasan pedalaman dan dijangka siap pada hujung 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 5:15 PM