Suspek yang ditahan bersama senapang angin oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah pada Op Bersepadu Pencegahan Jenayah di rumah pekerja kawasan ladang di Jalan Selangau-Mukah jam 6 petang semalam. FOTO MELVIN JONI
Suspek yang ditahan bersama senapang angin oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah pada Op Bersepadu Pencegahan Jenayah di rumah pekerja kawasan ladang di Jalan Selangau-Mukah jam 6 petang semalam. FOTO MELVIN JONI
Oleh Melvin Joni


Mukah: Seorang lelaki warganegara Indonesia ditahan kerana memiliki senapang angin selain tinggal di negeri ini secara haram, jam 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 35 tahun ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah pada Op Bersepadu Pencegahan Jenayah di rumah pekerja kawasan ladang di Jalan Selangau-Mukah.

"Suspek mengaku masuk ke Sarawak pada 2019 melalui pintu masuk Tebedu dan terus bekerja di ladang kelapa sawit.

"Pemeriksaan lanjut dalam rumah itu turut menemui sebotol cecair dan 20 butir guli yang didakwanya dibeli daripada rakan dikenali sebagai Agus pada harga RM50," katanya pada kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada Jabatan Imigresen Malaysia berkaitan suspek.

Pada masa sama, Muhamad Rizal berkata, pihaknya juga akan menghantar surat makluman tangkapan suspek kepada Konsulat Indonesia dan Interpol.

"Senapang angin itu akan dihantar ke cawangan persenjataan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 1:25 PM