PASUKAN bomba mengawal kebakaran sebuah rumah di Kampung Tutus Ulu Tengah. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN bomba mengawal kebakaran sebuah rumah di Kampung Tutus Ulu Tengah. FOTO Ihsan Bomba
Erika George


Mukah: Seorang wanita warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tutus Ulu Tengah di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 12.05 tengah malam itu, Hamdi Suhai, 75, dipercayai tidur dalam bilik di kediamannya dan terperangkap ketika kebakaran berlaku, manakala lima lagi keluarga mangsa yang lain berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya dimaklumkan, sebelum kejadian jiran keluarga itu melihat kabel elektrik terbakar di belakang kediaman terbabit.

Katanya, sejurus itu, jiran terbabit menjerit mengarahkan semua penghuni rumah berkenaan keluar rumah menyelamatkan diri kemudian menghubungi talian kecemasan.

"Sejurus api berjaya dikawal pasukan Bomba dan Penyelamat, siasatan di lokasi kejadian menemukan mayat mangsa (Hamdi) yang gagal menyelamatkan diri.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Mukah bagi tujuan bedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ibni.

Katanya, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 12:17 PM