Gambar hiasan
Gambar hiasan
Melvin Joni


Mukah: Seorang guru wanita mengalami kerugian RM110,000 selepas diperdaya oleh sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata mangsa, 32, dari Kedah dan mengajar di sebuah sekolah rendah di sini.

Katanya, mangsa dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM36,690 pada 12 Februari lalu.

"Suspek juga mengatakan mangsa mempunyai syarikat di Kuantan, Pahang yang didaftarkan atas namanya.

"Suspek kemudian meminta mangsa membuat laporan polis dan talian terus disambung ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk berhubung dengan individu dikenali sebagai Sarjan Arifin.

"Kemudian mangsa diminta untuk memberikan butiran peribadi, butiran perbankan dan nombor TAC kepada pihak Bank Negara Malaysia bagi tujuan penyiasatan dan pembekuan akaun.

"Mangsa yang cemas mengikuti arahan Sarjan Arifin dan mendedahkan semua butiran yang diminta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Rizal berkata pada 25 Februari lalu, mangsa pergi ke Bank Rakyat Cawangan Mukah untuk menyemak baki wang dalam akaun dan mendapati wangnya dipindahkan sebanyak RM110,000 ke dalam akaun CIMB.

"Mangsa yang rasa tertipu segera membuat laporan di Balai Polis Mukah, kira-kira jam 12.51 tengah hari semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 2:32 PM