Datuk Seri Bung Moktar Radin
Datuk Seri Bung Moktar Radin
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pembukaan sempadan negara yang dilaksanakan serentak dengan fasa peralihan endemik Covid-19 bermula 1 April ini disifatkan sebagai langkah positif ke arah pemulihan ekonomi negara secara menyeluruh.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pembukaan semula sempadan negara dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dapat memastikan aktiviti ekonomi terus kekal berdaya saing terutama sektor pelancongan.

Kata beliau, kerajaan perlu mencontohi strategi dan pendekatan diambil New Zealand, Australia, Indonesia dan Filipina yang melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa bagi merancakkan kembali sektor ekonomi.

"Bagaimanapun, sebarang bentuk pelaksanaan ke arah pembukaan sempadan mesti dibuat secara teliti untuk memastikan risiko kesihatan awam terkawal.

"Protokol dan garis panduan mengenai peraturan kuarantin contohnya, perlu dikuatkuasa bagi mengekang jangkitan Covid-19," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan fasa peralihan ke endemik dan pembukaan sempadan negara pada 1 April ini, petang semalam.

Bung Moktar sebelum ini turut membangkitkan pembukaan semula sempadan negara pada sesi perbahasan menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

"Malaysia dan negara lain di rantau ini perlu menyegerakan pembukaan sempadan masing-masing untuk membantu pemulihan ekonomi terutama dalam sektor perdagangan dan pelancongan tanpa meningkatkan risiko kesihatan rakyat.

"Langkah ini penting bagi menyokong usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang giat dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 1:04 PM