- Foto hiasan
- Foto hiasan
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Mahkamah Sesyen Bintulu hari ini, menjatuhi hukuman denda RM20,000 terhadap sebuah syarikat kontraktor pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo selepas didapati menyebabkan kerosakan gentian optik bawah tanah milik Telekom Malaysia Berhad (TM), lima tahun lalu.

Hakim Sharifuddin Abdul Rasa, menjatuhi hukuman itu terhadap syarikat Musyati Mudajaya JV Sdn Bhd yang melaksanakan projek pembinaan lebuh raya itu di jajaran Jambatan Sungai Kua hingga Jambatan Sungai Arip.

Mengikut fakta kes, syarikat terbabit didakwa menyebabkan kerosakan kepada kemudahan rangkaian telekomunikasi iaitu kabel fiber optik 48 Core bawah tanah.

Kerosakan itu berlaku di lokasi 34.65 kilometer dari Stesen TM Tatau menghala ke Stesen TM Bukit Singgalang dalam daerah Bintulu pada jam 7.30 malam, 2 Julai 2017.

Laporan polis berhubung kerosakan kabel fiber optik bawah tanah itu dibuat oleh TM di Balai Polis Balingian pada 7 Julai 2017.

Berikutan itu, syarikat terbabit didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Nur Nazhzilah Mohammad Hashim manakala syarikat Musyati Mudajaya JV Sdn Bhd diwakili peguam, Chung Jing Kuang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 6:04 PM