Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Lima keluarga yang kehilangan kediaman akibat dihanyutkan arus banjir di Kampung Tersang di sini, baru-baru ini akan dibantu daripada segi pembayaran sewa rumah sehingga kediaman baru mereka siap dibina.

Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusof berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab itu untuk meringankan beban mangsa.

"Setiap ketua isi rumah sudah dimaklumkan untuk menyewa rumah lain buat seketika sementara kediaman mereka dibina semula oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

"Pembinaan sesebuah rumah mengambil masa empat hingga lima bulan untuk disiapkan. Dalam tempoh itu, mereka boleh menyewa dan sewaan akan ditanggung oleh Pusat Khidmat Parlimen Rantau Panjang sepenuhnya.

"Penempatan di Kampung Tersang adalah kawasan yang hampir setiap tahun dilanda banjir namun bah kali ini agak luar biasa menyebabkan kebanyakan kediaman ditenggelami banjir," katanya ditemui selepas melawat mangsa banjir di Kampung Tersang hari ini.

Siti Zailah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mengulas mengenai bantuan di kawasan parlimen berkenaan yang mana lebih 10,000 ketua isi rumah dibantu dengan pemberian kit makanan disalurkan melalui Pusat Bantuan Asnaf Rantau Panjang sejak minggu lalu.

SITI Zailah meninjau salah sebuah rumah Muhammad Rodi Zakaria yang dihanyutkan arus banjir ketika ditemui selepas membuat lawatan mangsa banjir di Kampung Tersang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SITI Zailah meninjau salah sebuah rumah Muhammad Rodi Zakaria yang dihanyutkan arus banjir ketika ditemui selepas membuat lawatan mangsa banjir di Kampung Tersang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Menurutnya, bantuan itu disampaikan secara berterusan dari semasa ke semasa termasuk pemberian borang permohonan membabitkan bantuan lain.

Sementara itu, mangsa, Muhammad Rodi Zakaria, 55, mengakui bantuan sewa rumah berkenaan benar-benar melegakannya sekeluarga yang buntu memikirkan tempat untuk berteduh sementara rumahnya dibaiki.

"Kami kehilangan segala-galanya serta tidak mampu menyewa rumah lain kerana saya hanya bekerja sebagai penoreh getah. Malah, punca pendapatan juga hilang sepanjang tempoh banjir.

"Terima kasih kepada Ahli Parlimen Rantau Panjang yang peka dengan nasib kami, Insya-Allah, saya akan mencari rumah sewa dengan segera untuk keselesaan isteri dan anak-anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 3:19 PM