Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Kerajaan negeri Kelantan menyediakan Subsidi Rumah Sewa sebanyak RM300 selama enam bulan kepada mangsa banjir termenung di kawasan terkesan akibat Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, berkata setakat ini, 58 keluarga sudah dikenali pasti dari beberapa penempatan seperti Kampung Gual To'Deh, Kampung Tersang dan Kampung Lachang, di sini, yang bakal menerima manfaat Subsidi Rumah Sewa.

Katanya, subsidi terbabit diberi selama enam bulan dalam tempoh setahun bermula 2023 sehingga 2026, iaitu sehingga selesai fasa tiga PLSB, selain akan diberikan dalam tempoh musim tengkujuh.

"Pemilihan penerima Subsidi Rumah Sewa dilakukan melalui tapisan ketua kampung serta pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ahli Parlimen. Mereka yang layak adalah dalam kalangan mangsa banjir yang berhadapan dengan banjir termenung dalam tempoh yang lama.

"Subsidi yang diberikan boleh diguna penerima untuk menyewa kediaman lain yang bebas banjir selama enam bulan agar keselamatan terjamin selain mengelak pelbagai ancaman lain. Sebaik banjir reda, mereka boleh kembali ke kediaman masing-masing.

"Kerajaan negeri mengambil cakna nasib keluarga yang terbabit dengan banjir termenung dan berharap agar Subsidi Rumah Sewa berkenaan akan digunakan sebaiknya sekali gus meringankan beban mangsa banjir ," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Serahan Kunci 10 Rumah 'Home2Live' di Pusat Latihan dan Aktiviti Komuniti Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Zailah Mohd Yusuff dan Presiden Muslim Care Malaysia Society Zulkifli Wahijan.

Seramai 10 penerima dalam kalangan asnaf, mangsa kebakaran serta orang kurang upaya (OKU) menerima Rumah 'Home2Live' hasil sumbangan Muslim Care Malaysia Society dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Menurutnya, kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana agensi yang mahu tampil membantu golongan memerlukan di negeri ini agar dapat memberi mereka kehidupan yang lebih baik.

Ahmad berkata,setakat ini majoriti penerima Subsidi Rumah Sewa adalah dari Parlimen Rantau Panjang yang sudah sedia maklum sering kali berhadapan dengan banjir termenung.

"Usaha ini akan diteruskan juga di jajahan lain jika ada keluarga yang turut menjadi mangsa banjir termenung. Mereka dipilih bergantung kepada situasi sebenar yang terpaksa dihadapi akibat bencana banjir.

"Semoga usaha kerajaan ini dapat membantu rakyat sekali gus membuktikan kecaknaan pihak kami dalam memastikan nasib masyarakat terbela," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 1:14 PM