CHE Hasniza melihat tiang rumahnya, yang masih tinggal apabila rumahnya musnah dihanyutkan banjir pada 1 Mac lepas di Kampung Tersang, Rantau Panjang. FOTO BERNAMA
CHE Hasniza melihat tiang rumahnya, yang masih tinggal apabila rumahnya musnah dihanyutkan banjir pada 1 Mac lepas di Kampung Tersang, Rantau Panjang. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Pasir Mas: Pemilik enam rumah yang hanyut akibat banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang, di sini, merayu kerajaan menyegerakan pembinaan kediaman ganti kepada keluarga berkenaan.

Pemilik rumah, Che Hasniza Che Omar, 45, berkata jangkaan banjir besar yang bakal melanda pada musim Monsun Timur Laut pada November ini mendatangkan trauma dan membimbangkan mereka.

"Kawasan ini berlembah dan berisiko banjir, setelah berpengalaman rumah dihanyutkan pada Mac lalu, keadaan itu menyebabkan kami trauma.

"Kami sekeluarga tidak dapat tidur dengan lena sejak beberapa minggu lalu sebaik sahaja masuk musim tengkujuh, malah paling merisaukan apabila rumah yang hanyut belum berganti baharu," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Pada 1 Mac lalu, Bernama melaporkan enam rumah hanyut dibawa arus deras banjir semasa pemiliknya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh.

Che Hasniza berkata pada masa ini dia dan anak-anak terpaksa menumpang di rumah mentua, Kamariah Latif, 70, yang terletak bersebelahan tapak asal menjadikan rumah itu kini didiami oleh 10 penghuni.

"Pada dua minggu lalu, pihak berkenaan meminta kami supaya membersihkan kawasan tapak rumah baharu yang akan dibina dan berharap supaya pembinaan rumah ini dipercepatkan memandangkan banjir dikhabarkan akan berlaku lebih besar pada tahun ini," katanya.

Sementara itu, Mariam Mamat, 78, berkata rumah lamanya yang hanyut didiami oleh 11 penghuni termasuk anak, menantu dan cucu-cucunya.

"Saya masih belum boleh melupakan apabila pulang dari PPS SK Tok Deh apabila hampir pengsan melihat tapak rumah hanya tinggal tangga, bahagian dapur dan tandas sahaja," katanya.

Keluhan penduduk terbabit mendapat perhatian Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang memaklumkan kesemua mangsa rumah hanyut akibat banjir terbabit akan menerima rumah baharu dalam masa terdekat.

"Pada asalnya nilai bajet rumah bantuan berkenaan ialah RM56,800 untuk satu unit, namun selepas menjalankan pemeriksaan, rumah itu masih dibina pada paras rendah iaitu diangkat hanya 0.30 meter sahaja, penilaian baharu dilakukan segera.

"Penilaian semula dibuat dan selepas mengambil kira keadaan itu masih berisiko terhadap banjir, kami mengangkat aras rumah kepada keadaan lebih tinggi iaitu 1.83 meter dengan kos baharu RM79,000," katanya.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, usaha pembinaan akan dilakukan dalam masa terdekat, malah tawaran tender sudah dibuat.

"Pembinaan rumah baharu ini akan dilakukan pada tahun ini juga cuma ada beberapa perkara perlu diselesaikan melibatkan tender, kontraktor dan pembayaran insuran.

"Pembinaan rumah baharu ini juga akan mengambil masa tiga bulan sahaja, oleh itu kita mohon penghuni rumah bersabar dan biarlah rumah yang akan dibuat itu tidak berisiko dihanyutkan air lagi," katanya.

Menurutnya, kerajaan turut membantu membayar sewa rumah buat dua pemilik yang terkesan akibat kejadian itu.

"Dua pemilik rumah hanyut yang menyewa diberi bayaran sewa bergantung kepada nilai sewaan di kawasan kampung iaitu antara RM100 hingga RM350 dari awal kejadian hingga sekarang, bagaimanapun empat pemilik rumah yang menumpang di rumah lain tidak dibayar sewa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 1:47 PM