Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjadi 'keldai akaun' dan menyembunyikan wang hasil penipuan Macau Scam, lima tahun lalu.

Majistret Nabiha Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Mohd Syaifullah Ismail, 35, dan mensabitkannya seperti pertuduhan.

Beliau juga memerintahkan tertuduh berasal dari Pulau Pinang itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 13 Januari lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyembunyikan wang RM2,400 daripada penama, Zaini Abdullah, 45, melalui akaun Bank Rakyat dengan mempunyai sebab untuk mempercayai wang itu hasil penipuan Macau Scam.

Perbuatan itu dilakukan di mesin juruwang automatik Bank RHB, Aeon Bandaraya pada 23 Oktober 2017 pada 12.59 tengah hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin memohon hukuman setimpal dikenakan, namun tertuduh yang diwakili peguam dari Biro Bantuan Guaman merayu hukuman penjara yang ringan kerana tidak mampu membayar denda.

Sementara itu dalam prosiding berasingan, seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa iaitu menyembunyikan wang hasil penipuan dalam urusan mendapatkan pinjaman peribadi tidak wujud berjumlah RM51,165.74 daripada Hibatul Hakimi Zakariah, 32, melalui akaun Bank CIMB miliknya.

Perbuatan itu dilakukan di Taming Sari antara 24 Februari tahun lalu pada 9.21 malam hingga 25 Februari, 12.28 tengah malam.

Tertuduh, Muhammad Amirullah Abdul Razak, 33, dari Taman Kemunting Maju, Taiping, Perak mempunyai sebab untuk mempercayai wang itu diperoleh melalui penipuan dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana tidak mampu.

Tertuduh berkata, dia tidak mengetahui bagaimana wang itu boleh berada dalam akaunnya dan turut menjadi mangsa penipuan Macau Scam.

Majistret Nabiha membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM2,500 dan menetapkan kes untuk sebutan pada 19 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 6:01 PM
Mohd Syaifullah (kanan) ketika hadir Mahkamah Majistret Melaka. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Mohd Syaifullah (kanan) ketika hadir Mahkamah Majistret Melaka. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad