BERNAMA

Ipoh: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan bekas pengetua maahad tahfiz, Azizul Yahya, dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan kes amang seksual dihadapinya sebelum ini.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed memutuskan demikian selepas mendengar permohonan peguam Mohd Hafiz Jalaludin yang mewakili Azizul selepas permohonan sebelum ini ditolak di Mahkamah Sesyen di sini.

Pada 28 Januari lalu, Mahkamah Sesyen tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan peguam mewakili Azizul ketika itu Muhamad Shahrul Nizam Mohd Radi, memaklumkan pihaknya akan menfailkan semakan terhadap keputusan tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Abdul Wahab turut mengenakan beberapa syarat ke atas Azizul, 30, termasuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah atau pihak polis, dan melapor diri ke balai polis terdekat di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah sebelum setiap 3 hari bulan.

Beliau juga mengarahkan tertuduh supaya tidak mendekati kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam semua pertuduhan yang dikenakan pada jarak satu kilometer.

Abdul Wahab berkata, jaminan yang diberikan akan terbatal dan tertuduh akan direman semula sekiranya melanggar syarat jaminan dan menetapkan 29 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fajrul Shihar Abu Samah, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hafiz Jalaludin.

Pada 28 Jan lepas, Azizul mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani di Mahkamah Sesyen.

Mengikut kertas pertuduhan, Azizul menghadapi 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima pelajar berusia antara 13 dan 15 tahun manakala satu pertuduhan menunjukkan video lucah kepada mangsa yang sama.

Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah maahad tahfiz di Batu Gajah antara Februari sehingga Oktober 2021 mengikut Seksyen 14(a), 14(b), 14(d) dan 15 (e) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 5:50 PM