TAN (dua dari kiri) dan Tay dijatuhi hukuman gantung sampai mati. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
TAN (dua dari kiri) dan Tay dijatuhi hukuman gantung sampai mati. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my


Tawau: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua lelaki selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 70,942.52 gram tiga tahun lalu.

Hakim Dr Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Teng Siong, 52, dan Tay Thong Keng, 34, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Menurutnya, pendakwaan berjaya membuktikan kes bahawa kedua-dua tertuduh itu mempunyai niat untuk menyeludup dadah.

"Oleh itu, kedua-dua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati," katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Tan dan Tay bersama seorang lagi, Tan Teng Sang, 37, didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine seberat 70,942.52 gram di Jalan Haji Karim (belakang bangunan Mahkamah Tawau) pada 12.30 tengah malam, 9 November 2018.

Bagaimanapun, Teng Sang sudah dilepaskan dan dibebaskan ketika akhir kes pendakwaan pada 20 dan 21 Mac lalu.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada November 2020 itu, pihak pendakwaan memanggil tiga saksi sementara pihak pembelaan masing-masing hanya menampilkan kedua-dua tertuduh sebagai saksi sehingga perbicaraan selesai pada Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran manakala peguam Dominic Chew Luke Ressa mewakili Tan dan Ram Singh mewakili Tay.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 1:22 PM