OMAR Mokthar. FOTO Nur Aisyah Mazalan
OMAR Mokthar. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Luqman Arif Abdul Karim


Kota Tinggi: Formula 'nombor ajaib' bakal menjadi percaturan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mencipta kejutan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama.

Tanpa mendedahkan perincian khusus, angka rahsia itu dikatakan mempunyai kaitan dengan peratusan keluar mengundi, pertambahan pengundi muda dan angin perubahan sokongan menjelang 12 Mac depan.

Calon PKR, Omar Mokhtar A Manap, yang pertama kali diturunkan bertanding mewakili parti dan berdepan saingan di kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu mengakui 'bacaan' di atas kertas seakan tidak memberi sebarang kelebihan kepada dirinya.

Bagaimanapun, katanya, tinjauan di lapangan sepanjang berkempen di Johor Lama mendapati kawasan yang dulunya dikategorikan sebagai hitam, kini sudah berupaya dimasuki malah mendapat penerimaan baik dalam kalangan masyarakat.

"Tengok atas kertas, memang ini seperti cabaran luar biasa untuk anak muda bertanding di kawasan yang Umno menang dengan majoriti lebih 5,000 undi.

"Tetapi, inilah jalannya selari perjuangan reformasi kerana tiada jalan singkat, yakni hanya nak dicalonkan di kawasan selesa atau kerusi selamat.

"Tiada apa yang mustahil, malah kita mula rasakan ada perubahan besar di Johor Lama kerana apabila turun ke bawah dengan memberi penjelasan, kawasan yang dulunya hitam pun sudah boleh masuk sekarang.

"Lebih mengejutkan, hasil pendekatan kita tanpa sebarang provokasi, sebaliknya terarah kepada menyantuni rakyat, penduduk setempat boleh ajak duduk minum kopi bersama," katanya kepada BH.

Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu merekodkan calon BN, Rosleli Jahari menang selesa dengan majoriti 5,807 undi dalam saingan tiga penjuru, mengetepikan calon dari Keadilan, Nor Ashidah Ibrahim dan calon PAS, Siti Zaharah Othman. Rosleli kemudian mengambil keputusan keluar BN dan menyertai Bersatu.

Susulan pembubaran DUN pada 22 Januari lalu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Johor, kerusi Johor lama bakal menyaksikan saingan empat penjuru antara Omar, Norliza Noh (Umno, Alias Rasman (Perikatan Nasional) dan Mohd Shukor Ahmad (Parti Pejuang Tanahair).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 4:23 PM