AKMAL Nasir (kiri), bersama Dr Zamil, dalam sidang media mempertikaikan keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan calon di DUN Larkin. FOTO Mahaizura A Malik
AKMAL Nasir (kiri), bersama Dr Zamil, dalam sidang media mempertikaikan keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan calon di DUN Larkin. FOTO Mahaizura A Malik
Mahaizura Abd Malik


Johor Bahru: Keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (Dun) Larkin hanya akan memecahkan undi pihak pembangkang.

Pengarah Kempen Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dun Larkin, Akmal Nasir berkata, tindakan Muda iitu akan menyebabkan berlaku pertembungan banyak penjuru termasuk dengan PKR seperti tindakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan parti lain.

Katanya, keputusan mengejutkan itu bertentangan dengan pendirian awal pernah dibuat Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini untuk tidak meletakkan calon Muda di mana-mana kerusi ditandingi PKR.

"Tindakan Muda ini akan mengesahkan tanggapan ramai pihak yang menyifatkan gaya politik Muda masih dangkal dan tidak matang dalam menilai pihak kawan dan lawan.

"Walaupun mengakui Muda mempunyai hak demokrasi untuk meletakkan calon di mana-mana kerusi mereka inginkan, tetapi Angkatan Muda Keadilan (AMK) tertanya-tanya apa motif sebenar Muda mahu meletakkan calon di Dun Larkin sedangkan PKR sudah menamakan seorang tokoh profesional dan berpengalaman.

"Pemilihan Dr Zamil (calon PKR) adalah bertepatan dengan nilai, prinsip dan integriti yang dipegang PKR dalam pemilihan calon pilihan raya dan seterusnya menawarkan pemimpin berkredibiliti untuk diangkat sebagai wakil rakyat," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Dun Larkin di sini, hari ini.

Turut hadir, calon PKR bagi Dun Larkin, Dr Zamil Najwah.

Akmal yang juga Ketua AMK Malaysia berkata, keputusan Muda untuk mencetuskan pertembungan sesama pembangkang di Dun Larkin tidak akan mengganggu fokus PKR.

"Walaupun berhadapan risiko pecah undi akibat tindakan Muda ini, PKR tetap yakin akan mampu menawan semula Larkin yang sebelum ini dimenangi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

"Justeru, saya menyeru seluruh jentera PKR di Dun Larkin dan kerusi ditandingi PKR kekal fokus dan terus bekerja keras mendekati rakyat bagi memenangkan calon PKR.

"Kita menggesa Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP menyatakan komitmen mengangkat semangat PH dengan menyokong calon PKR bagi menewaskan pihak lawan," katanya.

Semalam, Syed Saddiq mengumumkan calon Muda, Rasid Abu Bakar akan bertanding untuk kerusi Dun Larkin bertembung dengan Dr Zamil, sekali gus menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 5:44 PM