GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Jumlah negeri yang mencatatkan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus kini menurun kepada lima negeri semalam berbanding tujuh kelmarin.

Dua negeri yang mula pulih dan penggunaan di bawah 50 peratus ialah Perlis dan Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara lima negeri yang masih melebihi 50 peratus itu ialah Selangor dan Putrajaya yang kegunaan katil ICU di tahap 83 peratus.

"Selain itu Johor dengan penggunaan sebanyak 70 peratus, Kelantan (69 peratus) serta Kuala Lumpur (54 peratus). Bagi penggunaan katil bukan ICU, kini terdapat 12 negeri yang mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus.

"Ia termasuklah Selangor dengan penggunaan mencecah 118 peratus, Putrajaya (106 peratus), Perlis (98 peratus), Kuala Lumpur (92 peratus), Perak (90 peratus) dan Kelantan (88 peratus).

"Turut mencatatkan kegunaan melebihi 50 peratus ialah Terengganu dengan 78 peratus, Pahang (70 peratus), Johor (66 peratus), Sarawak (64 peratus), Pulau Pinang (58 peratus) dan Sabah (51 peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Melaka kekal menjadi negeri tunggal yang mencatatkan penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) melebihi 50 peratus, iaitu sejumlah 63 peratus penggunaan dilaporkan setakat semalam.

"Bagi pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan, jumlah kini meningkat kepada 216 pesakit, ia menjadikan peratusan penggunaan alat berkenaan kini mencecah 24 peratus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 11:41 AM