GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 18,161 golongan dewasa daripada komuniti Orang Asli menjadi pesakit positif Covid-19 sehingga 28 Februari 2022.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, 196 pesakit meninggal dunia akibat virus berkenaan.

Beliau berkata, penerimaan dan kesedaran mengenai suntikan vaksin oleh masyarakat Orang Asli semakin baik dengan liputan melebihi 80 peratus untuk populasi dewasa.

"Namun, adalah penting bagi anggota kesihatan untuk terus konsisten dalam pelaksanaan program outreach vaksinasi Orang Asli bagi memastikan komuniti ini tidak tercicir daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

"Ini kerana liputan dos penggalak dalam kalangan komuniti Orang Asli masih rendah terutama dalam kalangan beberapa suku kaum Orang Asli yang mengamalkan budaya hidup semi-normadic iaitu berpindah randah dari satu kawasan ke kawasan lain di atas sebab-sebab tertentu," katanya menerusi hantaran di Facebook (FB), hari ini.

Khairy berkata, dalam lawatan kerja ke Hospital Orang Asli Gombak, hari ini, beliau berkesempatan meninjau Program Imunisasi Covid-19 Untuk Kanak-kanak (PICKids) dalam kalangan komuniti setempat.

"Saya akan memastikan komuniti Orang Asli tidak akan ketinggalan dalam mendapat khidmat kesihatan sewajarnya.

"Ini sejajar dengan sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam Sustainable Development Goals (SDG) No. 3 – 'Good Health & Wellbeing' yang sudah digariskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 8:43 PM