Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pendekatan terbaik bagi menangani penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti adalah memastikan komuniti itu sendiri meningkatkan usaha dalam memainkan peranan sebagai 'frontliner' atau pejuang barisan hadapan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Program Pemerkasaan Komuniti yang dilaksanakan kerajaan adalah senjata yang dimiliki untuk bersama-sama membendung penularan virus Covid-19.

Katanya, usaha ini selaras dengan strategi dalam Dasar Perpaduan Negara untuk memperkasakan institusi keluarga dan komuniti yang dilancarkan pada 15 Februari lalu.

Beliau berkata, antara inisiatif Program Pemerkasaan Komuniti yang sudah, sedang dan akan digerakkan termasuk mengaktifkan jawatankuasa di peringkat komuniti, membuat hebahan mengenai maklumat Covid-19 dan membantu pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK); melaksanakan aktiviti pemantauan di kawasan komuniti serta memberi nasihat, teguran dan panduan kepada komuniti.

"Kepimpinan komuniti yang juga tulang belakang dalam sesebuah komuniti contohnya penghulu, ketua kampung, ketua agama, ketua rumah panjang, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) dan pemimpin masyarakat lain perlulah digerakkan bagi bersama-sama menjayakan usaha ini.

"Kerajaan juga memperkenalkan Program Agen Basmi Covid-19 (ABC-19) melalui pendekatan 'Whole-of-Society' yang digerakkan oleh agensi kerajaan, kepimpinan komuniti dan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.

"Sehingga 23 Mac lalu, seramai 29,407 orang anggota agensi dan kepimpinan komuniti yang sudah menyantuni lebih 1.325 juta rakyat melalui pelbagai program di lebih 22,166 kawasan tumpuan," katanya.

Muhyiddin berkata, komuniti juga perlu memainkan peranan dalam menyampaikan hebahan serta pesanan melalui pelbagai saluran, contohnya; seorang doktor daripada NGO boleh menyampaikan mesej yang padat dan praktikal kepada komunitinya berhubung nasihat kesihatan berkaitan Covid-19.

Sementara, mereka yang berkepakaran dalam bidang tertentu seperti ahli psikologi boleh memberikan khidmat psikologi kepada ahli komuniti yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kepimpinan komuniti yang menerajui ABC-19 pula akan turut digerakkan bagi membuat hebahan pendidikan kesihatan mengenai langkah pencegahan Covid-19 serta membantu pendaftaran PICK kepada ahli komuniti yang tiada akses MySejahtera/Laman Web/Call-center.

"Ini bagi memastikan sasaran 80 peratus imunisasi penduduk dewasa Malaysia tercapai," katanya.

Menurutnya, komuniti juga perlu melaksanakan aktiviti pemantauan di kawasan masing-masing seperti mengawasi sempadan komuniti dari dimasuki oleh orang luar tanpa kawalan.

Pada masa sama, beliau mahu pemimpin komuniti memastikan pematuhan ahli komuniti kepada prosedur operasi standard (SOP) norma baharu dengan memberi nasihat, teguran, panduan dan peringatan supaya komuniti sentiasa berwaspada.

"Saya amat mengharapkan semua pihak dapat bersama-sama kerajaan dalam memerangi Covid-19 ini.

"Segala medium dan platform komuniti masing-masing harus digembleng agar komuniti sendiri dapat mengambil tanggungjawab menjaga komuniti tanpa memerlukan penguatkuasaan yang ketat oleh Kerajaan.

"Komitmen daripada semua pihak amatlah kritikal dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 melalui Program Pemerkasaan Komuniti ini," katanya.

Muhyiddin berkata, bagi mengoperasikan pendekatan itu, kerajaan mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melalui sekretariat Pengurusan Bencana di Negeri (JPBN) dan Daerah (JPBD) untuk menyelaraskan pelaksanaan ABC-19 di lapangan di seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

     Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Program Pemerkasaan Komuniti yang dilaksanakan kerajaan adalah senjata yang dimiliki untuk bersama-sama membendung penularan virus Covid-19.
    Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Program Pemerkasaan Komuniti yang dilaksanakan kerajaan adalah senjata yang dimiliki untuk bersama-sama membendung penularan virus Covid-19.

  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 4:43 PM