CALON SPM SMA Mahmudiah, Madrasah Moden dan SM Imtiaz menaiki bot untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara semalam. FOTO Ihsan pembaca
CALON SPM SMA Mahmudiah, Madrasah Moden dan SM Imtiaz menaiki bot untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara semalam. FOTO Ihsan pembaca
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: "Emosi saya sedikit terganggu untuk duduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal bermula Rabu ini selepas terbabit dengan banjir," demikian reaksi calon SPM, Madrasah Moden Yayasan Terengganu, Kuala Berang, Nur Anisah Maisarah Abd Wahab, 18.

Katanya, dia juga tidak begitu bersemangat untuk mengulang kaji pelajaran terutama selepas terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Dewan Majlis Daerah Kuala Berang, petang semalam berikutan asrama dihuninya di Sekolah Menengah Agama Mahmudiah (SMA Mahmudiah) ditenggelami air banjir lebih dua meter.

"Sejujurnya saya kini kurang bersemangat mengulang kaji pelajaran, tambahan pula buku dan nota untuk ulang kaji tidak sempat di bawa bersama ke pusat pemindahan.

"Saya juga dimaklumkan beberapa buku dan nota untuk kami membuat persediaan sebelum memasuki dewan peperiksaan SPM turut dihanyutkan air banjir.

"Bukan itu sahaja, saya hanya sempat bawa beberapa pasang pakaian kerana fikirkan banjir hanya sehari dua sahaja. Tapi air semakin naik menyebabkan kami terpaksa 'berkampung' lagi di PPS," katanya yang berharap air banjir cepat surut bagi membolehkannya kembali ke asrama.

Bagi Muhammad Airiel Idham Ahmad Rafhan, 18, dia mengakui emosinya juga terganggu kerana terkejut dengan situasi banjir besar itu yang kali pertama berlaku sepanjang belajar di sekolah berkenaan.

"Emosi saya sekarang terganggu sebab banjir berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang persediaan ketika peperiksaan berbaki sehari lagi.

"Saya tidak sempat bawa buku dan nota untuk membuat ulangkaji malah baju sekolah juga tidak sempat dibawa. Saya harap seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan kami selamat dan berjaya dalam peperiksaan SPM nanti," katanya.

Bagi calon SPM Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang, Alif Zubairi, 18, dia hanya sempat membawa sebuah buku untuk membuat ulangkaji.

"Petang semalam, kami terpaksa redah banjir dengan menaiki bot walaupun cuaca semakin gelap dan hujan, baju sekolah tidak sempat bawa, begitu juga kelengkapan peperiksaan yang lain, kami hanya fikir nak selamat diri dan rakan-rakan.

"Alhamdulillah kami bersyukur semuanya selamat, ini pengalaman baharu kami kerana terpaksa dipindahkan ke PPS," katanya.

Semalam seramai 131 calon SPM SMA Mahmudiah Kuala Berang, Mahmudiah, 63 calon Madrasah Moden Yayasan Terengganu Kuala Berang dan 39 calon Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang terpaksa dipindahkan menggunakan bot ke PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Berang selepas asrama dihuni mereka dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 2:59 PM