AHMAD Rafhan Zaid bersama anaknya, Muhammad Airiel Idham. FOTO Ihsan Ahmad Rafhan Zaid.
AHMAD Rafhan Zaid bersama anaknya, Muhammad Airiel Idham. FOTO Ihsan Ahmad Rafhan Zaid.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Musibah banjir yang melanda diharap tidak mematahkan semangat pelajar di Terengganu dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

Ahmad Rafhan Zaid, 43, bapa kepada Muhammad Airiel Idham, 18, berharap anaknya yang dipindahkan dari Sekolah Menengah Agama Mahmudiah (SMA Mahmudiah) ke Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Buruk, di sini, dapat menjawab soalan peperiksaan dengan tenang.

"Ibu bapa mana yang tidak bimbang lebih-lebih lagi anak sulung yang terpaksa melalui pelbagai dugaan sebelum menduduki peperiksaan awam itu bermula hari ini.

"Bermula dengan wabak pandemik Covid-19, mereka tidak dapat menduduki peperiksaan seperti jadual biasa akhir tahun lalu, kini mereka berdepan dengan musibah banjir sehingga terpaksa berpindah ke pusat peperiksaan baharu.

"Namun saya bersyukur kerana semuanya selamat dan tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan sebagainya. Terima kasih kepada semua agensi terbabit termasuk Pejabat Pendidikan Daerah dan Negeri yang bertindak pantas menyelamatkan mereka dengan memindahkan pelajar menggunakan bot Ahad lalu ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Hulu Terengganu," katanya.

Sementara itu, Mohamad Azrul Mohamed Aslam, 43, yang juga seorang peniaga bersyukur kerana anaknya, Puteri Alya Natrah, 18, yang belajar di Madrasah Moden Hulu Terengganu selamat menduduki peperiksaan awam itu di Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah, Kuala Terengganu hari ini.

"Dengan pelbagai dugaan yang dilalui bermula dengan wabak pandemik Covid-19, mereka terpaksa belajar dari rumah, kini mereka terpaksa berpindah ke pusat peperiksaan baharu selepas sekolahnya dinaiki air lebih dua meter sejak Sabtu lalu.

"Marilah kita doakan semua calon SPM yang dipindahkan ke pusat peperiksaan baharu dapat menyesuaikan diri dengan cepat selain dapat menjawab peperiksaan dengan tenang kerana ujian itu begitu mencabar bagi mereka," katanya.

Berdasarkan rekod, seramai 319 calon SPM Terengganu yang terjejas banjir daripada keseluruhan 18,815 calon membabitkan 170 pusat peperiksaan membabitkan empat sekolah terpaksa menjalani peperiksaan awam itu di pusat peperiksaan baharu mulai hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 5:40 PM