Ikan tilapia yang mati dibawa menggunakan lori untuk ditanam ke dalam lubang besar yang dikorek dengan menggunakan jentolak. FOTO Ihsan Halim Ishak
Ikan tilapia yang mati dibawa menggunakan lori untuk ditanam ke dalam lubang besar yang dikorek dengan menggunakan jentolak. FOTO Ihsan Halim Ishak
Noorazura Abdul Rahman


Kubang Pasu: Penternak ikan air tawar sangkar kerugian kira-kira RM50,000 apabila empat tan ikan tilapia yang diternak di Sungai Santap, Padang Sera, Kodiang, di sini, ditemukan mati, semalam.

Kejadian itu disedari pada 8 pagi ketika penternak itu Halim Ishak, 47, tiba di lokasi untuk meninjau keadaan kolam ikan terbabit.

Halim berkata, dia rasa terkejut apabila melihat ikan tilapia sudah mati dan timbul di permukaan sungai itu.

Menurutnya, ikan berkenaan sepatutnya boleh dijual tidak lama lagi dan ia juga pertama kali berlaku sejak 16 tahun terbabit dalam aktiviti terbabit.

"Saya tak pasti kenapa ia (ikan tilapia) boleh mati, namun saya sudah berhubung dengan pihak berkaitan untuk melakukan pemeriksaan.

"Pegawai Jabatan Perikanan Kedah dan Lembaga Sumber Air juga difahamkan sudah mengambil sampel air, pagi tadi," katanya ketika ditemui di sangkar ikan tilapianya, hari ini.

Bapa kepada dua anak itu berkata, kerja-kerja pembersihan di sangkar ikannya dilakukan selama tiga jam sejak 4 petang semalam sebelum bersambung pada 8 pagi tadi.

Katanya, semua ikan yang mati ditanam dalam satu lubang besar yang dikorek menggunakan jentolak kira-kira satu kilometer dari sangkar bagi mengelak bau busuk.

Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Fouzi Ali berkata, kejadian berlaku di Terusan Utara di bawah seliaan MADA.

"Sampel air sudah diambil di Terusan Utara, Alor Changileh, Sungai Tanjung Pauh dan Sungai Bata untuk dianalisa atas kesesuaian bagi kegunaan tanaman padi dan ekosistem terusan dan sungai berkaitan.

"Buat masa ini, MADA masih menunggu keputusan analisis sampel air di sungai terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 5:31 PM