DR Noor Hisham (kiri) ketika lawatan kerja ke Hospital Slim River. FOTO Facebook Noor Hisham Abdullah
DR Noor Hisham (kiri) ketika lawatan kerja ke Hospital Slim River. FOTO Facebook Noor Hisham Abdullah
BERNAMA

Ipoh: Perak mencatatkan peningkatan kes Covid-19 kategori 4 dan 5 yang memerlukan rawatan kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU), kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Setakat semalam, terdapat 121 pesakit Covid-19 di Perak yang sedang dirawat di ICU dengan kadar purata tujuh hari penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus.

"Jabatan Kesihatan Negeri Perak dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan pelbagai agensi sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi peningkatan mendadak kes Covid-19 yang diramalkan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perkongsian di laman Facebook yang turut memuat naik beberapa gambar lawatan kerjanya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Hospital Taiping, Hospital Tapah dan Hospital Slim River tengah malam tadi.

Katanya sebuah bilik gerakan ditubuhkan bagi memastikan ketersediaan katil untuk merawat pesakit Covid-19 di Perak dan sebanyak 223 katil wad serta 42 katil ICU telah dikhaskan untuk rawatan Covid-19 di HRPB yang mula merawat pesakit wabak itu mulai Januari tahun lalu.

Dr Noor Hisham berkata, bagi hospital lain di Perak, Hospital Taiping yang mula merawat pesakit Covid-19 pada Mac tahun lalu mengalami peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 sejak akhir Jun lalu.

"Sebanyak 237 kes baharu telah dilaporkan di daerah Larut, Matang dan Selama termasuk 175 kes adalah di mukim Taiping.

"Persiapan sedang giat dilaksanakan bagi menghadapi peningkatan kes Covid-19 yang diramalkan memuncak dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi. Kerjasama semua pihak adalah penting dałam menghadapi peperangan getir yang mendatang," kata Dr Noor Hisham.

Menurutnya, lima wad dengan kapasiti 120 katil dan 16 katil ICU telah dikhaskan untuk rawatan Covid-19 di Hospital Taiping setakat ini.

Beliau berkata Hospital Tapah yang merawat pesakit Covid-19 mulai November tahun lalu, terdapat 100 katil dan daripada jumlah tersebut, 28 katil dikhaskan untuk rawatan Covid-19.

"Secara kumulatif setakat Jun lepas, pesakit Covid-19 yang telah dirawat di hospital ini berjumlah 527 orang. Selain itu, hospital ini juga memberikan perkhidmatan kesihatan bagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Penjara Tapah," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, persiapan juga sedang giat dilaksanakan bagi menghadapi peningkatan kes Covid-19 di Hospital Slim River yang turut menerima rujukan kes Covid-19 kategori 3 hingga 5 dari Selangor, khususnya PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Daerah Petaling.

Hospital berkenaan yang mula merawat pesakit Covid-19 pada April tahun lalu, mempunyai kapasiti 250 katil iaitu 69 katil wad dan 4 katil ICU (diubah fungsi) telah dikhaskan untuk rawatan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 11:31 AM