KEADAAN semasa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai ketika tinjauan hari ini. FOTO Bernama
KEADAAN semasa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai ketika tinjauan hari ini. FOTO Bernama
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Projek Perumahan Rakyat (PPR) Masai yang terbengkalai hampir setahun, dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pemaju PPR terbengkalai termasuk berdepan faktor kekangan pusingan modal.

Beliau berkata, pihaknya akan segera mengambil tindakan wajar secara fast track termasuk berkaitan tatacara pentadbiran kontrak supaya ia teratur.

Menurutnya, ia berikutan pemaju yang mengurus projek berkenaan berdepan krisis kewangan ketika pandemik Covid-19 hingga gagal melaksanakan mengikut tempoh dijadualkan.

"Perkembangan kerja pembinaan PPR ini memerlukan hala tuju baharu terutama ia membabitkan perkara kontraktual.

"Kami memberi jaminan semua projek sakit PPR di negara ini perlu dimulakan semula selewat-lewatnya pada Jun ini dan ia bagi membolehkan projek terbabit dapat disiapkan dalam tempoh setahun akan datang.

"Memandangkan terdapat peningkatan kos apabila projek akan dimulakan semula kerana pelantikan pemaju baharu turut membabitkan sebut harga baharu.

"Ia berikutan mengambil kira harga barang yang naik dan kos logistik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja di tapak PPR Masai di Kampung Baru Masai, di sini, hari ini.

Projek PPR itu memiliki 330 unit rumah pangsa berkeluasan 700 kaki persegi dan tarikh siap asal adalah 21 Februari 2021.

Setakat ini, ia siap 77 peratus dan setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan ruang dapur.

Reezal Merican berkata, ia adalah inisiatif Kerajaan Pusat bagi mengatasi masalah kekangan perumahan dan penempatan semula setinggan serta memenuhi keperluan tempat tinggal dalam kalangan golongan B40.

"Manakala bagi PPR Kempas Permai, kerja penggantian 21 lif akan dilaksanakan membabitkan kos melebihi RM10 juta di bawah Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP).

"Projek ini bermula pada September 2021 dan dijangka siap pada penghujung Januari 2023," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 5:00 PM