Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bertam Putra, di sini yang terbengkalai lebih dua tahun lalu dikategorikan antara projek 'sakit' di Pulau Pinang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ketika ini terdapat empat projek mengalami kelewatan dan dua projek sakit dikesan di negeri ini.

"Projek pembinaan sekolah ini antara projek sakit, ia sepatutnya siap pada 20 April 2020 namun mengalami kelewatan lebih dua tahun.

"Antara alasan yang diberikan adalah kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kesukaran untuk mendapatkan pekerja asing, kegagalan kontraktor melakukan pengubahsuaian dan sebagainya," katanya selepas meninjau projek sekolah berkenaan, di sini, hari ini.

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, beliau memberi tempoh sehingga hujung tahun ini kepada kontraktor bagi menyiapkan bangunan sekolah berkenaan.

Katanya, projek pembinaan sekolah itu kini sudah siap 85.9 peratus sebelum ia mengalami kelewatan dan terbengkalai.

"Dalam negara berada pada fasa pemulihan ketika ini banyak projek yang terbengkalai berjaya disiapkan. Jadi, tidak ada sebab kontraktor SMK Bertam Putra tidak boleh siapkan projek ini dalam tempoh yang saya tetapkan," katanya.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, beliau mahu ia segera disiapkan kerana pembinaan projek membabitkan institusi pendidikan seperti sekolah boleh memberikan tekanan yang kuat kepada pembangunan modal insan setempat.

"Oleh kerana sekolah ini masih belum siap, ramai (pelajar) yang terpaksa pergi ke sekolah lain, maka sebab itu perancangan kita kena bijak supaya rakyat tidak terkesan termasuk mengetahui apa jua kekangan yang dihadapi kontraktor bagi menyelesaikan masalah kelewatan ini.

"Namun, paling penting pada ketika ini adalah menyelesaikan projek terbengkalai supaya tiada nama (kontraktor) yang blacklisted (disenaraihitamkan) selain tidak mahu projek ini kena terminate (disingkirkan) kerana apabila ia berlaku, perlu retender (tender semula) dan ia menyusahkan," katanya.

Difahamkan, projek pembinaan SMK Bertam Putra yang menelan peruntukan RM27 juta bermula sejak April 2018.

habis//

#kw, SMK Bertam Putra, terbengkalai,projek sakit, Reezal Merican Naina Merican, Kepala Batas

From: zati

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 7:54 PM