Reezal Merican meninjau persekitaran PPR semasa mengadakan lawatan ke Program Perumahan Rakyat (PPR). Beliau mengadakan lawatan kerja ke Langkawi di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Reezal Merican meninjau persekitaran PPR semasa mengadakan lawatan ke Program Perumahan Rakyat (PPR). Beliau mengadakan lawatan kerja ke Langkawi di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Hamzah Osman


Langkawi: Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dibangunkan di negara ini bakal menjadi kediaman canggih apabila kerajaan merangka inisiatif memasang kabel fiber optik terus ke rumah di penempatan itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, inisiatif perintis bagi projek itu sudah berjaya dilaksanakan di dua PPR baharu di pulau ini.

"Sebanyak 1,000 rumah PPR yang hampir siap di pulau ini dilengkapi kabel fiber optik, sekali gus muncul PPR pertama di negara ini mempunyai kemudahan canggih itu.

"Kita akan menjadikan (PPR di Langkawi) ini sebagai model untuk dilaksanakan di tempat lain," katanya pada sidang media selepas meninjau PPR Anggerik Lestari di Kuah di sini, hari ini.

Reezal Merican berkata, pelaksanaan inisiatif itu membolehkan penghuni menikmati kemudahan akses internet lebih laju memenuhi keperluan asas semasa.

"Saya sudah mengarahkan kementerian untuk melihat semua 154 projek PPR, ada (antaranya) telah diserahkan kepada kerajaan negeri untuk kita lakukan pemasangan wayar.

"(Sebahagian projek lain) ada juga yang pasang 'hotspot' dan kita kenali program ini sebagai Jalinan Digital Negara (Jendela) PPR," katanya.

Beliau berkata, kemudahan itu diyakini mampu memberi tahap daya huni lebih tinggi kepada penghuni PPR yang rata-ratanya mewakili golongan B40 yang mencari rezeki berniaga dalam talian.

Terdahulu, Reezal Merican turut meninjau Loji Rawatan Termal (Insinerator) di Kampung Belanga Pechah yang selesai proses pembaikan dan bakal beroperasi semula Disember ini.

Mengulas keupayaan loji itu, beliau berkata, loji berkeluasan 12.73 hektar yang turut dilengkapi Rawatan Air Larut Resap (LTP) itu mampu mengendalikan 80 metrik tan sampah sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 4:55 PM