Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Umno menafikan menjadi punca ketidakstabilan politik, sebaliknya menjadi 'penyelamat' ketika negara dan masyarakat menghadapi pelbagai krisis berpunca daripada pandemik Covid-19.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia dapat dibuktikan apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, Umno muncul dan menjadi sebahagian daripada kerajaan Pusat.

Beliau mendakwa, Umno hadir dalam keadaan kritikal dan PH yang menjadi kerajaan sebelum itu gagal mengambil langkah sesuai bagi mengatasi permasalahan berlaku.

"Sebenarnya, Umno dilihat sebagai penstabil, ada Menteri Besar datang sini menyatakan Umno penyebab hilangnya kestabilan sesebuah kerajaan, saya nak maklumkan bila runtuh kerajaan PH dahulu, itu dibuat oleh mereka sendiri.

"Bila sebahagian mereka keluar, yang menjadi penstabil adalah Umno dan tampil ke depan apabila dalam keadaan situasi Covid-19, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke depan.

DATUK Seri Reezal Merican mengadakan lawatan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Masai hari ini. FOTO Mary Victoria
DATUK Seri Reezal Merican mengadakan lawatan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Masai hari ini. FOTO Mary Victoria

"Menteri yang diberi tanggungjawab jaga kesihatan dan vaksinasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin, malah Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut membantu mendapatkan sumbangan vaksinasi dari Arab Saudi, semua itu (usaha) menteri Umno," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Masai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad.

Reezal Merican berkata, semua kementerian penting adalah daripada Umno dan rakyat akan melihat serta menilai prestasi mereka.

"Perkara ini dilihat dan disedari rakyat apabila walaupun bukan kerajaan Umno, tetapi pemimpin Umno adalah penstabil dalam kerajaan.

"Apabila Ismail Sabri mengetuai kerajaan, Perdana Menteri berjaya mendapatkan pemimpin pembangkang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memudahkan pentadbiran kerajaan dalam tempoh pandemik.

"Ismail Sabri berjaya menghasilkan senario apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng semuanya akur dan akhirnya bajet berjalan dengan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 5:27 PM