FOTO hiasan
FOTO hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa kampung dan rumah penduduk di Kuala Krai di sini ditenggelami air.

Susulan itu, satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan mula dibuka pagi tadi di Masjid Lama Keroh, Kuala Krai yang menempatkan lapan keluarga.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS berkenaan menempatkan 24 mangsa iaitu sembilan lelaki dewasa, 10 wanita dewasa, tiga kanak-kanak dan dua bayi.

Sementara itu, menurut laman web, https://publicinfobanjir.water.gov.my, sehingga jam 3 petang ini, dua sungai utama melebihi paras bahaya iaitu Sungai Jenob di Tanah Merah dan Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai masing-masing dengan bacaan 25.19 meter (m) dan 36.88 m.

Tiga sungai lagi melebihi paras amaran iaitu Sungai Nal di Kuala Krai (24.76 m), Sungai Kelantan di Kampung Temangan Machang (15.54 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (8.06 meter).

Selain itu, tiga sungai berada di paras waspada iaitu Sungai Sungai Lebir di Kampung Karangan, Kuala Krai (28.45 m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (22.09 m) dan Sungai Kelantan di Kampung Kusial, Tanah Merah (12.35 m).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Zainal Madasin berkata, pihaknya bersama pasukan keselamatan yang lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengatur gerak membantu mangsa yang dilanda banjir.

Katanya, pihaknya turut memberi perhatian kepada beberapa daerah yang lain termasuk Kota Bharu, Jeli dan Tanah Merah.

"Keadaan hujan berserta angin ini akan menyebabkan kawasan rendah mudah dinaiki air dan kita menasihatkan kepada semua penduduk yang terjejas supaya membuat persediaan dan berwaspada," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 4:34 PM