Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Seorang kartunis menggunakan saluran token tidak sepiawai atau dikenali sebagai Non Fungible Token' (NFT) dalam memperkenalkan air tangannya ke peringkat antarabangsa.

Kartunis otai berkenaan, Rosidi Ismail, 74, atau lebih dikenali sebagai Pak Rossem berkata, dia menggunakan manfaat kemajuan teknologi itu untuk mempamerkan karya dengan mudah, cepat dan sistematik untuk pasaran seluruh dunia bermula kelmarin.

Katanya, NFT adalah pasaran digital membabitkan video, gambar dan lagu yang semakin mendapat sambutan.

Justeru, beliau tidak melepas peluang menggunakan manfaat berkenaan dalam mengembangkan bakatnya selain berpeluang memperoleh pendapatan lumayan.

"Melalui NFT, individu berkaitan boleh membeli lukisan berkenaan secara maya dan ditukar hak milik kepada pembeli, namun lukisan asal masih berada dalam simpanan pelukis asal.

"Tetapi, jika pembeli turut mahu membeli lukisan asal, dia perlu berhubung terus dengan pelukis untuk mendapatkannya dengan nilai tertentu.

PAK Rossem bersama  koleksi lukisan dihasilkan di Balai Kartun Rossem miliknya di Kampung Peringat. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
PAK Rossem bersama koleksi lukisan dihasilkan di Balai Kartun Rossem miliknya di Kampung Peringat. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

"Saya mulakan langkah pertama melalui NFT dengan mempamerkan lukisan kartun bertemakan seni budaya Kelantan seperti gasing, permainan wau bulan, makyong, wayang kulit dan tarian Melayu," katanya.

Beliau ditemui di Balai Kartun Rossem miliknya di Kampung Peringat di sini.

Menurutnya, sebelum ini, pelukis atau kartunis hanya didedahkan dengan pameran yang mana kehadiran pengunjung terhad serta dalam kalangan dalam negara sahaja.

"Melalui NFT, ia dapat dipamerkan ke seluruh dunia," katanya.

Rossem berkata, sebelum ini, dia sudah didedahkan dengan medium jualan digital yang dikenali sebagai pentas.io namun sistem NFT ini lebih terperinci dan berbaloi untuk digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 6:30 AM