Penyanyi kumpulan Bumi Putra Rockers, Joey ketika menjayakan persembahan. FOTO File NSTP
Penyanyi kumpulan Bumi Putra Rockers, Joey ketika menjayakan persembahan. FOTO File NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan Bumi Putra Rockers (BPR), Joey kini membuka akaun token tidak sepiawai atau NFT (Non-Fungible Token) bagi menjual poster, artwork, album, lagu dan barangan dalam bentuk medium terbabit.

Usaha ini dilakukan oleh Joey, 58, atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi berikutan trend krypto kini agak jatuh, selain keadaan terkini murah untuk memulakan perdagangan NFT.

"NFT atau Non Fungible Token adalah satu platform dagangan online yang menggunakan Crypto Etherium sebagai mata wang pertukaran.

"Ia dah lama beroperasi, namun ramai yang masih belum menerokainya secara meluas untuk dimanfaatkan bagi mencari pendapatan.

"Buat masa ini saya sudah mengumpulkan ramai kawan-kawan artis, pelukis dan lain-lain lagi untuk menyertai saya dalam platform ini," katanya kepada Harian Metro.

Joey berkata, anggota kumpulan Fotograf iaitu Ringgo yang kini aktif menghasilkan lukisan, mempunyai beberapa lukisan yang bakal dilampirkan dalam page opensea.io.

"Saya ingin maklumkan pengguna haruslah mahir dalam crypto terutama etherium sebelum menyertai platform ini.

"Terdahulu sebelum ini, artis seperti Namewee menjual album dalam bentuk krypto berjumlah 1 juta dolar dan ia amat mengujakan.

"Saya pula terpaksa mencuba cara ini untuk mendapatkan hasil kerana penjualan lagu dalam bentuk CD sudah tidak relevan lagi.

"Buat masa ini, kaedah ini masih baru di Malaysia. Namun saya percaya ia akan menjadi platform utama di masa akan datang," katanya.

Menurutnya konsep perniagaan NFT sama seperti Lazada serta Shopee dan tidak mustahil ia boleh diterima masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 2:57 PM