FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kumpulan individu yang tidak divaksin tanpa mengira usia merupakan golongan yang paling berisiko dijangkiti Covid-19 kategori empat dan lima serta berdepan dengan kematian akibat jangkitan virus berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keadaan itu dapat dilihat menerusi data Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kes Covid-19 kategori empat dan lima serta data kematian akibat pandemik itu bagi setiap 100,000 populasi dalam tempoh 26 Januari hingga 22 Februari.

"Ini dapat dilihat pada carta KKM dan hampir semua kumpulan umur," katanya dalam kenyataan yang turut memuatkan carta yang menunjukkan kes Covid-19 kategori empat dan lima serta kematian bagi setiap 100,000 penduduk adalah lebih tinggi dalam kalangan individu yang tidak divaksin sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut Dr Noor Hisham kumpulan individu yang telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 adalah yang paling terlindung daripada pandemik itu.

"Dapat dilihat jumlah kes yang lebih rendah dijangkiti Covid-19 yang serius (kategori tiga, empat dan lima) dan juga kematian dalam kalangan penerima dos penggalak berbanding kumpulan yang tidak divaksinasi dan kumpulan yang lengkap divaksinasi tetapi belum menerima dos penggalak," katanya,

Beliau berkata vaksin dos penggalak dapat memberi perlindungan yang terbaik daripada kematian dan gejala serius Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 2:25 PM