GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kes harian Covid-19 di negara ini masih mencatatkan lima angka iaitu 27,004 kes dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang dijangkiti virus berkenaan ialah sebanyak 3,927,437 kes.

Beliau berkata, jumlah kes itu membabitkan 26,285 kes penularan tempatan dengan 719 kes import yang mendapat jangkitan luar negara.

"Paling tinggi kategori yang dikesan semalam adalah kategori dua iaitu sebanyak15,642 kes atau 57.92 peratus, ia dikuti kategori satu (11,163), kategori tiga (63), kategori empat 72 kes dan 64 kes bagi kategori lima.

"Daripada jumlah keseluruhan 199 kes bagi kategori tiga hingga lima, sebanyak 51 kes (25.63 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 82 kes (41.21 peratus) menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 66 kes (33.17 peratus) sudah menerima dos penggalak (booster) dan 95 kes (47.74 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas manakala 105 kes lagi (52.76 peratus) mempunyai komorbid.

Menurutnya, sebanyak 373 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 152 kes disahkan Covid-19 serta 221 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 225 kes iaitu 97 kes disahkan Covid-19 serta 128 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Sebanyak 29,450 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif adalah 3,596,453 kes," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat sembilan kluster baru dikesan dan 340 masih aktif.

"Ia menjadikan jumlah kluster sebanyak 6,902 kluster dan 6,562 kluster sudah tamat," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, lapan negeri iaitu Perlis (73 peratus), Kuala Lumpur (70 peratus), Putrajaya (67 peratus), Kelantan (63 peratus), Johor (60 peratus), Selangor (56 peratus), Sarawak (52 peratus) dan Perak (51 peratus) menunjukkan peratusan pengisian katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus.

"Bagi katil bukan ICU, 13 negeri mencatatkan pengisian lebih 50 peratus didahului dengan Selangor (95 peratus),Kuala Lumpur (92 peratus), Putrajaya (83 peratus), Perlis (79 peratus), Perak (79 peratus), Terengganu (78 peratus), Sarawak (70 peratus), Melaka (68 peratus), Negeri Sembilan (62 peratus), Kelantan (60 peratus), Johor (55 peratus), Pahang (54 peratus) dan Pulau Pinang (52 peratus).

"Bagi pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) menurun kepada 225 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 25 peratus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 11:48 AM