Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Tiga beradik dari Kampung Laut di sini yang teruja menerima suntikan vaksin sanggup bangun awal untuk menjadi antara penerima terawal suntikan berkenaan.

Nazeef Audric, 9; Nurlisa Maureen, 6, dan Nazriel Ariqin Kamarul Azhar, 5, bangun dan bersiap seawal jam 6 pagi walaupun mereka dijadualkan berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu jam 10 pagi.

Anak kepada pasangan Kamarul Azhar Zainun, 47, dan Nor Ruziah Ismail, 46, itu antara 20 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun yang menjadi kumpulan pertama menerima suntikan Covid-19 sempena Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Pusat Rawatan Harian HSNZ di sini, hari ini.

Kamarul Azhar berkata, tiga anaknya begitu teruja apabila dimaklumkan mereka akan menerima vaksin hari ini.

"Semalam saya bagi tahu mereka supaya bangun awal untuk terima vaksin dan mereka memang teruja serta tidak sabar.

Nazriel Ariqin bin Kamarul Azhar, 5 (tengah),   Nazeef Audric, 9 (dua kiri) dan Nurlisa Maureen, 6 bersama ibu, Nor Ruziah Ismail,  46 dan Kamarul Azhar Zainun, 47 semasa menjalani suntikan Vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) Peringkat Negeri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Nazriel Ariqin bin Kamarul Azhar, 5 (tengah), Nazeef Audric, 9 (dua kiri) dan Nurlisa Maureen, 6 bersama ibu, Nor Ruziah Ismail, 46 dan Kamarul Azhar Zainun, 47 semasa menjalani suntikan Vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) Peringkat Negeri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari ini. FOTO GHAZALI KORI

"Sebelum ini, anak pertama dan anak kedua masing-masing berusia 19 dan 15 tahun sudah menerima suntikan vaksin dan hari ini giliran tiga lagi anak pula.

"Sebenarnya, anak keempat dan kelima ada sejarah asma dan sebagai ibu bapa, kami berasa lebih selamat jika semuanya menerima suntikan ini," kata bapa kepada lima anak itu.

Kamarul Azhar yang bekerja sendiri berkata, dia mendaftarkan nama tiga anaknya menerusi aplikasi MySejahtera dua hari lalu sebelum dimaklumkan mereka akan menerima suntikan hari ini.

"Saya memang mahu anak disuntik vaksin sebagai ikhtiar membendung jangkitan Covid-19 yang masih berada dalam komuniti kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 5:34 PM