HANYA 12.2 peratus (21,822 orang) kanak-kanak di Terengganu sudah menerima suntikan dos pertama setakat semalam. FOTO BERNAMA
HANYA 12.2 peratus (21,822 orang) kanak-kanak di Terengganu sudah menerima suntikan dos pertama setakat semalam. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Terengganu: Terengganu merekodkan kadar vaksinasi kedua terendah di Malaysia bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) sejak dilaksanakan pada Februari lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hanya 12.2 peratus (21,822 orang) kanak-kanak sudah menerima suntikan dos pertama setakat semalam.

"Saya nak beri ingatan dan seruan seikhlas mungkin dari lubuk hati saya untuk ibu bapa yang belum beri kebenaran kepada anak-anak, sila benarkan sebab peratusan vaksinasi di Terengganu ini adalah kedua terendah di Malaysia.

"Jadi, tolonglah (beri kebenaran vaksinasi) kerana ini adalah usaha sebagai ibu bapa untuk perlindungan kepada anak-anak," katanya selepas merasmikan majlis pelancaran Tahun Semarak Dakwah Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), lima negeri mencatatkan peratusan terendah bagi PICKids iaitu Kelantan (9.8 peratus), Terengganu (12.2 peratus), Sabah (23.3 peratus), Kedah (23.5 peratus) dan Perlis (25.3 peratus).

Ditanya apakah alasan diberikan ibu bapa yang masih enggan membenarkan vaksinasi untuk anak mereka, beliau berkata, tiada kajian menyeluruh dilakukan setakat ini.

"Tapi berdasarkan maklum balas yang diterima, antaranya ibu bapa bimbang kesan sampingan daripada vaksin ini berlaku terhadap anak mereka dan ada yang mengambil sikap tunggu dan lihat.

"Ibu bapa tidak patut bimbang kerana vaksin Covid-19 sama sahaja dengan vaksinasi lain seperti BCG (Bacillus Calmette-Gurrain) dan sebagainya, ini bukan perkara baru sudah lama ia dilaksanakan... kenapa kali ini penerimaannya berbeza," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Kasemani Embong berkata, seramai 178,700 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Terengganu layak menerima vaksin itu, namun hanya 21,822 sahaja yang sudah menerima suntikan dos pertama.

"Selain itu, terdapat 309,842 penerima vaksin Sinovac di Terengganu, namun hanya 172,581 orang telah mendapatkan suntikan dos penggalak setakat semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 5:46 PM