TANGKAP layar video memaparkan insiden kekecohan membabitkan sekumpulan individu di perkarangan Jabatan Kecemasan HRPB. FOTO Tular
TANGKAP layar video memaparkan insiden kekecohan membabitkan sekumpulan individu di perkarangan Jabatan Kecemasan HRPB. FOTO Tular
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Seorang daripada tujuh suspek terbabit insiden kekecohan sekumpulan individu di perkarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam ditahan polis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 20-an itu ditahan di kawasan tempat letak kereta Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini, kira-kira jam 11.50 malam.

Katanya, tangkapan dilakukan anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK) kerana merusuh.

Beliau berkata, Mahkamah Majistret Ipoh membenarkan permohonan menahan reman suspek berkenaan selama empat hari bermula hari ini hingga Rabu depan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

"Tangkapan adalah rentetan daripada pergaduhan seorang dari suspek dengan ahli keluarga teman wanitanya di Jalan Sekolah, Guntong, Ipoh.

"Usaha mengesan enam lagi lelaki (suspek) yang masih bebas masih diteruskan," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan kepada media hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan perselisihan faham antara dua keluarga mengenai isu percintaan dikenal pasti sebagai punca yang membawa kepada insiden kekecohan membabitkan sekumpulan individu di perkarangan Jabatan Kecemasan HRPB Ipoh kira-kira jam 12.20 tengah malam semalam.

Berita berkaitan

#kw merusuh, HRPB, suspek, tahan, polis, Ipoh

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 3:49 PM