MAHADI (tengah) melancarkan Karnival Ohh Kuala Lumpur 2022 sempena sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur. FOTO Fathil Asri
MAHADI (tengah) melancarkan Karnival Ohh Kuala Lumpur 2022 sempena sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur. FOTO Fathil Asri
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di ibu kota akan diteruskan seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, semua bazar dibenarkan berlangsung seperti tahun lalu terutama Bazar Aidilfitri.

Katanya, setakat ini tiada sebarang arahan diterima daripada kementerian berkaitan untuk melarang pembukaan bazar di Kuala Lumpur.

"Jumlah berapa banyak bazar, kami belum ada lagi, namun secara amnya kita teruskan seperti tahun lalu terutama Bazar Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

"Masih dengan sedikit kawalan SOP, tetapi tidak terlampau ketat seperti tahun sebelumnya.

"Untuk Bazar Aidilfitri di Jalan TAR dibuat secara undian dan ia sudah selesai, hanya tunggu pelaksanaan saja, manakala Bazar Ramadan kawasan seperti kita benarkan dan di lokasi anjuran persatuan penjaja.

"Kami pasti nanti akan ada rayuan, tetapi kita perlu tengok lokasi terlebih dulu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Karnival Ohh Kuala Lumpur 2022 sempena sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur yang berlangsung 19 hingga 20 Februari di Panggung Anniversary Taman Botani Perdana.

Mahadi berkata, bagaimanapun SOP di setiap bazar tidak akan seketat tahun sebelumnya, ada sedikit kelonggaran, namun diharap semua pihak tidak ambil mudah mengenai penularan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, sekiranya wujud penularan atau kluster bazar, pihaknya akan mengikut arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Diharap semua dapat menjaga pematuhan SOP kerana untuk mencegah penularan tidak boleh bergantung kepada pihak berkuasa atau penguatkuasasan saja tapi termasuk semua pihak iaitu peniaga dan orang ramai," katanya.

Sementara itu, orang ramai dijemput untuk memeriahkan sambutan Karnival Ohh Kuala Lumpur 2022 melalui pendaftaran secara dalam talian untuk mengawal bilangan yang hadir.

Ditanya mengenai keperluan untuk menutup taman rekreasi awam berikutan peningkatan jangkitan Covid-19 akibat varian Omicron, Mahadi berkata, buat masa ini tiada sebarang arahan diterima.

"Kami mengikuti panduan daripada kerajaan dan KKM, jika diarahkan tutup kita akan berbuat demikian, namun kami sentiasa tunggu keputusan kerajaan dan akan pantau serta mengikuti apa yang diarahkan pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 3:21 PM