BERNAMA

Melaka: Kerajaan negeri Melaka memberi 'lampu hijau' kepada peniaga bazar Aidilfitri untuk beroperasi hingga jam 2 pagi bermula hari ini.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika mengumumkan perkara itu bagaimanapun mengingatkan penganjur, peniaga dan pengunjung supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam usaha bersama mengekang penularan Covid-19.

Beliau berkata perkara itu diputuskan kerajaan negeri hasil keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jumaat lalu, yang kini membenarkan bazar Aidilfitri di seluruh negara beroperasi hingga 2 pagi berbanding 12 tengah malam, berkuat kuasa semalam.

Sulaiman berkata, ketetapan waktu operasi itu juga bergantung kepada keputusan MKN dari semasa ke semasa berdasarkan jumlah penularan kes baharu.

"Jadi ia boleh dibatalkan pada bila-bila masa jika didapati pelanggaran pematuhan SOP atau kes meningkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan Mega 2021 di Tapak Dataran MITC di sini malam tadi.

FOTO hiasan
FOTO hiasan

Mengakui khuatir dengan kebenaran penambahan waktu operasi bazar Aidilfitri, Sulaiman menggesa semua pihak mematuhi SOP pada setiap masa memandangkan jumlah kes di Melaka semakin meningkat.

"Bukan saja di bazar (Aidilfitri) tetapi juga di pasar Ramadan kerana saya tidak mahu apa yang berlaku di sesetengah negeri yang terpaksa membatalkan penganjuran akibat peningkatan kes, berlaku juga di Melaka.

"Sebab itu saya tekankan penganjur, peniaga dan pengunjung sentiasa menitikberatkan SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 10:05 AM