FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hayati Ibrahim dan Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan mungkin terpaksa mengambil tindakan menutup sementara atau memendekkan waktu operasi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri jika ada pihak yang terus gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau menerima beberapa kiriman video dan gambar yang menunjukkan kegagalan pematuhan SOP di bazar Ramadan dan bazar Aidilfiti terutamanya penjarakan fizikal.

"Sebelum ini sudah ada beberapa kes bazar Ramadan yang ditutup kerana pengunjung tidak mematuhi SOP terutamanya berkaitan dengan penjarakan fizikal.

"Kita mesti sentiasa berdisiplin dan jangan mengabaikan SOP khususnya ketika berada di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.

"Oleh itu saya menyeru kita bersama-sama meningkatkan tahap kawalan kendiri dan pematuhan SOP supaya persediaan menyambut hari raya Aidilfitri berjalan lancar," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan kerajaan akui pematuhan rakyat terhadap SOP amat baik, cuma ada segelintir sahaja yang masih alpa.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, trend kes positif Covid-19 harian masih lagi tidak menentu ditambah pula dengan penemuan varian baharu membimbangkan (VOC) dari India.

"Malaysia sudah mengambil tindakan pantas dengan menyekat sementara kemasukan pengembara dari India seperti pelajar antarabangsa dan pelawat perniagaan antarabangsa ke negara bagi mengelakkan varian itu.

"Beberapa negara lain juga turut mengambil langkah yang sama seperti Singapura, Hong Kong, Australia, Kanada, New Zealand, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom (UK) dan Indonesia.

"Bayangkan Covid-19 sudah pun berada di dalam komuniti dan kemunculan varian baharu ini akan meningkatkan lagi risiko penularan yang lebih besar jika kita tidak mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Menurutnya, situasi pandemik Covid-19 di India pada ketika ini adalah satu peringatan kepada penduduk di Malaysia dan wajar diberikan perhatian yang serius.

"Kita mestilah berwaspada dengan penularan wabak ini terutamanya berada di tempat tumpuan orang ramai seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri dan lain-lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 5:55 PM