Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi lebih mampan.

Selain itu, ia juga memacu usaha pemulihan negara secara berstruktur dan menyumbang ke arah pengukuhan pasaran tenaga kerja negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia berada pada landasan yang betul dalam usaha pemulihan ekonominya melalui penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan baharu bagi memenuhi keperluan semasa pasaran buruh.

SARAVANAN mengiringi Ismail Sabri bergambar dengan penerima Anugerah Majikan Prihatin Pemangkin Pasaran Kerja pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja 2020. FOTO Aizuddin Saad
SARAVANAN mengiringi Ismail Sabri bergambar dengan penerima Anugerah Majikan Prihatin Pemangkin Pasaran Kerja pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja 2020. FOTO Aizuddin Saad

"Saya selaku Pengerusi Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yakin usaha NEC dalam mempertingkatkan momentum penciptaan pekerjaan serta merancakkan pasaran kerja secara amnya akan dapat diteruskan menerusi Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia ini seterusnya akan turut memperkasa pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia khususnya kumpulan asnaf, B40 dan M40.

"Saya menyeru majikan termasuk agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta untuk memanfaatkan peluang dan insentif yang disediakan di bawah Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada majikan dan pencari kerja.

"Bagi Keluarga Malaysia yang masih menganggur dan sedang mencari punca pendapatan baharu, pastikan anda mendapatkan khidmat padanan pekerja yang ditawarkan oleh Portal MYFutureJobs," katanya yang turut merasmikan Inisiatif Jamin Kerja dan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Ismail Sabri berkata, inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' mendukung matlamat menurunkan kadar pengangguran melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion memandangkan penciptaan peluang pekerjaan adalah teras utama di bawah Bajet 2022.

"Kerajaan turut komited membantu komuniti usahawan yang menggaji dan mencipta peluang pekerjaan supaya dapat terus berkembang dan membina semula perniagaan melalui inisiatif Semarak Niaga bernilai RM40 bilion.

"Menerusi inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia tiga program utama disediakan iaitu insentif penggajian yang akan dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan sasaran 300,000 peluang pekerjaan.

"Selain itu, inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek atau Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, GLC dan rakan strategik serta Jamin Kerja.

"Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia) yang dilaksanakan HRD Corp dengan menyediakan latihan kemahiran untuk pencari kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dan menjamin penempatan pekerjaan dengan sasaran 220,000 orang pelatih," katanya.

Menurutnya, program Jamin Kerja insentif penggajian akan memberi tumpuan kepada usaha merangsang majikan untuk membuat pengambilan pekerja terutamanya dalam kalangan individu yang tidak aktif bekerja seperti golongan penganggur, golongan rentan seperti orang kurang upaya (OKU), bekas banduan, warga emas dan golongan wanita menganggur bagi tempoh berpanjangan untuk memastikan tiada golongan dipinggirkan.

"Selepas majikan diberikan insentif bagi pengambilan pekerja, pencari kerja boleh menggunakan Portal MYFutureJobs untuk mendapatkan padanan pekerjaan dan mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

"Insentif turut diberikan kepada majikan yang mengambil tenaga kerja tempatan bagi mengisi jawatan yang kebiasaannya dilakukan oleh pekerja asing ataupun pegawai dagang.

"Majikan yang layak akan menerima bantuan kewangan kerajaan antara 20 hingga 40 peratus daripada gaji kasar maksimum pekerja iaitu sebanyak RM10,000 bagi tempoh 12 bulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 1:59 PM