GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan akan melaksanakan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP) dengan sokongan lima pasukan petugas khas di bawah Majlis Pekerjaan Negara (NEC).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi memperkasakan tenaga kerja negara supaya lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa.

"Penciptaan pekerjaan di Malaysia juga akan dipertingkatkan melalui enam teras utama iaitu meningkatkan kerjasama antara industri dan akademik, memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri dan memperkasa usahawan tempatan untuk maju dalam ekonomi semasa.

"Selain itu, memanfaatkan 'ekonomi gig' untuk pencarian peluang penjanaan pendapatan, memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden serta mempercepat penerapan amalan tempat kerja moden.

"Enam teras itu akan menjadi panduan bagi pelaksanaan enam 'game changers' termasuk mengaplikasikan teknologi kepintaran buatan (AI) untuk tujuan pemadanan dan perancangan kerjaya di samping meningkatkan kebolehpasaran dan kualiti graduan lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya NEC yang bermesyuarat buat kali ketiga, semalam dimaklumkan lebih 376,000 pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan kerajaan setakat 10 September lalu.

Katanya, majlis ini dianggotai 12 menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara dan 12 wakil dari sektor swasta dengan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

"Kejayaan menempatkan pekerja itu melebihi sasaran yang ditetapkan untuk sembilan bulan pertama tahun ini iaitu 354,276 peluang pekerjaan sehingga 30 September 2021.

"Ia menunjukkan hasrat kerajaan untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan untuk tahun ini bakal dicapai.

"Selain itu, kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 97,000 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 76 peratus daripadanya kategori mahir dan separuh mahir di mana jumlah itu adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi 2021," katanya.

Beliau berkata, NJCSP juga memberi cadangan mewujudkan sebuah platform khusus bagi penyelarasan maklumat semua institusi TVET di Malaysia serta program dan peluang yang ditawarkan bagi memadankan mereka dengan institusi TVET bersesuaian untuk memudahkan pencarian kerjaya di masa hadapan.

"Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia juga diberi tanggungjawab membangunkan platform digital sehenti bagi memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran yang dijalankan pelbagai kementerian dan agensi dapat dilaksanakan serta dipantau secara berstruktur dan efektif.

"Mesyuarat juga bersetuju supaya kursus yang ditawarkan adalah berdasarkan keperluan ekonomi semasa, demografi dan keperluan ekonomi setempat.

"Kerajaan yakin strategi NEC termasuk pelaksanaan NJCSP dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan meningkatkan penciptaan pekerjaan sekali gus menangani isu seperti kekurangan pekerja dalam sektor yang tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta masalah berkaitan penggajian," katanya.

Katanya, bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, kerajaan menyediakan bantuan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang boleh dituntut daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Bagi yang masih mencari pekerjaan, mereka boleh mendaftar di Portal MyFutureJobs di https://www.myfuturejobs.gov.my/," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 7:50 PM