KEADAAN lengang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan SK Sg Lada pada tinjauan hari ini. FOTO BERNAMA
KEADAAN lengang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan SK Sg Lada pada tinjauan hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Labuan: Sikap 'tunggu dan lihat' dalam kalangan ibu bapa didapati antara penyebab peratusan rendah kanak-kanak yang mendapat vaksin di Labuan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata hanya 6.9 peratus atau 809 daripada 11,700 kanak-kanak yang disasarkan sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 setakat ini, selepas ia dilancarkan pada 7 Februari lalu.

"Sebilangan besar ibu bapa masih berfikir dua kali atau boleh kita katakan berada 'atas pagar' dan menggunakan pendekatan tunggu dan lihat untuk mengetahui respons daripada ibu bapa lain mengenai PICKids.

"Agak mengecewakan melihat bilangan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun mendaftar atau pergi ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang agak rendah selepas ia dilancarkan pada awal bulan ini," katanya hari ini.

Beliau berkata empat PPV disediakan untuk program itu iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 2, SK Sungai Lada, Hospital Labuan dan Dewan Darul Kifayah.

Dr Ismuni berkata sesi libat urus dengan masyarakat melalui platform media sosial Facebook dan laman web jabatan itu akan diteruskan bagi membolehkan mereka memahami kepentingan vaksinasi untuk melindungi anak-anak mereka daripada Covid-19.

"Melihat kepada peningkatan murid sekolah yang disahkan positif Covid-19, ibu bapa harus menyedari kepentingan vaksin untuk anak mereka, mengapa perlu menunggu sehingga dijangkiti baru hendak dapatkan suntikan.

"Kami memahami kerisauan ibu bapa mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin terhadap anak mereka. Vaksin Covid-19 adalah selamat," katanya.

Dr Ismuni berkata selain ketidakselesaan pada lengan yang disuntik, tiada seorang pun daripada 809 kanak-kanak yang divaksin itu mengalami kesan sampingan teruk.

Labuan merekodkan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 iaitu 447 pada 17 Februari lalu berbanding hanya satu digit pada dua minggu lepas, dan kes aktif meningkat kepada 1,738 setakat semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 4:20 PM